JANNA NICK
JANNA NICK


PELAKON popular, Janna Nick didakwa sudah berkahwin dengan kekasinya, Dini Schatzmann di Selatan Thailand pada Jun tahun lalu.

Perkara itu mula hangat diperkatakan menerusi pendedahan seorang pengguna laman Twitter yang memuat naik keratan yang memaparkan maklumat peribadi Janna dan Dini.

Bagaimanapun, Janna yang juga pengacara Melodi ketika dihubungi menafikan dakwaan itu.

Janna, 25, atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner berkata, tiada sebab untuk dia berkahwin secara senyap kerana dia bukan bercinta dengan lelaki berstatus suami orang.

"Perancangan untuk berkahwin memang ada tapi tidaklah sampai nak kahwin lari. Saya bukan bercinta dengan suami orang.

"Sekiranya segala persiapan sudah dibuat dengan rapi, saya pasti akan umumkan tarikh perkahwinan kepada umum.

"Namun, dalam keadaan sekarang ini, segalanya tergendala. Jangankan kenduri kahwin, nak buat majlis rumah terbuka pun tak lepas," katanya kepada Harian Metro.

Janna turut menegaskan tindakan tegas akan diambil kepada individu yang menyebarkan maklumat peribadi dirinya.

"Tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa atas penyebaran maklumat peribadi di bawah Akta Hak Perlindungan Peribadi.

"Apa pun, selamat berpuasa dan semoga Malaysia bebas Covid-19. Kita doakan agar semua kembali pulih seperti sedia kala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 5:23 PM