WANY Kayrie. FOTO ihsan Instagram
WANY Kayrie. FOTO ihsan Instagram


PENAMPILAN penyanyi Wani Kayrie yang memakai tudung ketika siaran secara langsung di Instagram Live bersama penyanyi Wany Hasrita untuk program Santai Bersama mengundang pertanyaan ramai baru-baru ini.

Wani dihubungi berkata dia masih lagi belum memakai tudung sepenuhnya tetapi tertarik berbuat demikian kerana rakan gandingannya itu seorang yang bertudung.

"Ketika siaran langsung di Instagram Live bersama Wany Hasrita, saya hanya suka-suka saja mengenakan tudung.

"Lagipun saya fikir apa salahnya mengenakan tudung di bulan Ramadan ini dan mana tahu tiba-tiba hidayah untuk bertudung akan datang selepas itu," katanya.

Menurut Wani, memakai tudung bukan satu perkara yang kekok baginya kerana pernah terdetik di hati mahu bertudung sebelum ini.

"Kalau lihat foto-foto di Instagram, saya selalu juga memuat naik gambar memakai tudung kerana keluarga saya ramai yang berhijab.

"Dulu pernah juga terfikir nak bertudung tapi ada saja cabaran yang perlu saya hadapi.

"Saya pasti akan memakai tudung namun biarlah masa yang menentukan. Inshaa-Allah masa itu akan datang tepat pada waktunya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 5:42 PM