AYDA Jebat bertunang dengan Nabil Mahir secara dalam talian menggunakan aplikasi Google Meet.
AYDA Jebat bertunang dengan Nabil Mahir secara dalam talian menggunakan aplikasi Google Meet.
Najiy Jefri

"SEJAK PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kami memang terfikir untuk tunda bertunang, tapi keluarga Nabil mahu majlis ini berlangsung dengan cepat," kata pelakon dan penyanyi popular, Ayda Jebat, 28, yang bertunang dengan pengacara, Nabil Mahir secara dalam talian menggunakan aplikasi Google Meet, semalam.

Ayda berkata, kaedah itu digunakan bagi mematuhi pelaksanaan PKP dan dianggap cara terbaik untuk berbincang dengan keluarga kedua belah pihak yang berlangsung dari kediaman masing-masing di ibu negara.

"Kalau boleh, mereka mahu kami bernikah secepat mungkin, tidak mahu tunggu lagi. Jadi, bagi menghormati permintaan keluarga, saya dan Nabil tampil dengan idea menganjurkan majlis bertunang secara dalam talian sempena sambutan ulang tahun kelahiran Nabil ke-32," katanya.

Menurut Ayda, walaupun majlis pertunangan yang dilakukan berbeza daripada kebiasaan, dia masih merasai apa yang dirasai orang lain ketika bertunang.

"Walaupun tidak dapat bertentang mata seperti majlis orang lain, tapi saya masih rasakan apa yang orang lain rasa. Kami gembira dapat merealisasikan kehendak keluarga mengikut adat. Jika diikutkan memang tiada majlis bertunang tapi demi permintaan keluarga kami tidak mahu menghampakan mereka," katanya.

Ditanya mengenai tarikh perkahwinan, penyanyi yang popular dengan lagu Temberang itu belum dapat berkongsi butiran lanjut mengenai perkara itu.

"Tarikh sudah ditetapkan tapi masih belum dapat saya kongsikan. Jangan risau, kami akan umumkan nanti," katanya.

Majlis bertunang dalam talian itu disertai kira-kira 20 ahli keluarga kedua-dua pihak.

Selepas hampir setahun mengenali hati budi masing-masing, Ayda berkata, dia bulatkan hati untuk menamatkan zaman bujang dengan Nabil.

"Memang saya mengharapkan hubungan kami sampai ke tahap ini. Saya sudah bersedia untuk bergelar isteri dan tidak mahu membuang masa. Saya juga sudah berusia 28 tahun, tidak terlalu muda dan tidak terlalu tua untuk berkahwin," katanya.

Sebelum ini, Nabil melamar Ayda pada malam sambutan hari jadinya yang ke-28 pada 17 Mac lalu.

 

Berita berkaitan

Ayda Jebat, Nabil Mahir bertunang 'online'

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 2:57 PM