NORA Ariffin. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
NORA Ariffin. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Syafil Syazwan Jefri


HAMPIR lima bulan selepas pemergian anak keduanya, penyanyi Nora Ariffin mengakui Ramadan tahun ini amat berbeza buat mereka sekeluarga selepas pemergian anak lelakinya Muhammad Syakir Alif Johan yang meninggal dunia pada 14 Disember tahun lalu.

Nora ketika dihubungi berkata, pemergian Muhammad Syakir Alif atau mesra disapa Alif sangat dirasai lebih-lebih lagi di bulan Ramadan kerana banyak kenangan bersamanya dalam bulan mulia ini.

Nora bagaimanapun menguatkan hatinya bagi memastikan dua lagi anak perempuannya, Putri Nur Dahlia dan Putri Nur Fatehah terus kuat dan tidak bersedih.

"Sebagai ketua keluarga, saya cuba sedaya upaya untuk hiburkan anak-anak kerana tak mahu mereka rasa terlalu sedih dan kehilangan. Saya perlu menjadi contoh kepada mereka. Jadi, kalau mereka nampak mama mereka kuat, mereka pun akan jadi kuat," katanya.

Nora berkata, dia juga dinasihatkan doktor yang membimbing psikologi mereka sekeluarga supaya tidak menunjukkan rasa kesedihan kepada anak-anak.

"Sejak Alif tiada, banyak yang bermain di dalam fikiran saya. Tanpa saya sedari, semua itu memberi impak kepada anak-anak sehingga menjejaskan pembelajaran mereka.

"Jadi, bagi menyelesaikan perkara itu, saya dan anak-anak bertemu dengan pakar psikiatri sebab saya sendiri pun tak pernah lalui situasi sebegini. Pada masa sama, saya juga ada merujuk ustaz dan ustazah bagi membimbing rohani kami untuk diseimbangkan dengan psikologi. Alhamdulillah, semua dah kembali kuat untuk teruskan kehidupan kami sekeluarga," katanya.

Pada 14 Disember tahun lalu, Alif meninggal dunia secara mengejut apabila tiba-tiba rebah di kediaman mereka.

Sebelum itu, Nora yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu kehilangan suaminya, Johan Nawawi yang juga composer popular pada 24 Mac 2017.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 6:40 PM