IKHLAS (kanan) dan bersama dengan ibunya. FOTO IG IKHLAS JALIL
IKHLAS (kanan) dan bersama dengan ibunya. FOTO IG IKHLAS JALIL
Norhayati Nordin


BARU-baru ini, tular di media sosial pada kalangan warganet yang terhibur menyaksikan gelagat ibu dan anak mencari sebilah pisau yang tak tahu diletakkan di mana?

    Video berdurasi satu minit yang mulanya hanya dimuat naik pelakon Ikhlas Jalil di Instagramnya (IG), kemudian tular di FaceBook dan Twitter.

    Ikhlas, 28, dihubungi berkata dia sekadar suka-suka untuk berkongsi kisah ibunya mencari pisau berkenaan kerana dirasakan agak lucu dan menarik. 

  "Lagi pun, ia bukan kisah yang saya reka tetapi situasi itu betul-betul berlaku di rumah ketika ibu, Wan Jah Raunah Wan Daud, 71, terlupa di mana dia letakkan pisaunya.

     "Timbul idea untuk videokan situasi itu dan tak sangka pula selepas dimuat naik di IG, ada individu lain tertarik buat perkongsian di FaceBook dan Twitter hingga tular. Malah, setahu saya kini lebih 50,000 perkongsian video itu sudah dibuat ," katanya kepada Harian Metro.

  

  Menurut Ikhlas atau nama sebenar Hizatul Ikhlas Abdul Jalil, dia berterima kasih pada semua warganet yang membuat perkongsian pada video itu hingga tular serta terhibur menontonnya.

   Ikhlas yang pernah berlakon drama seperti Jurnal Suraya, Terbaik Dariku dan Teratai Kemboja sebagai watak pembantu berkata ada segelintir warganet yang tahu dia pelakon dan ada sebaliknya.

   "Hampir lapan tahun aktif berlakon drama, saya akui tak ramai mengenali kerana sering melakonkan watak pembantu dan tidak ada gosip sensasi.

    "Malah, mana penonton yang tahu saya pelakon, kebanyakannya tak kenal nama tetapi ingat pada watak dilakonkan. Saya pula okay saja, orang kenal ke atau tidak?,' katanya.

   Ikhlas yang berlakon sepenuh masa berkata setakat ini tawaran berlakon masih diterimanya. Cuma, sekarang berlaku penularan wabak Covid-19 dan dilaksana juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka kini duduklah di rumah.

    Ujarnya, dengan banyak masa yang ada dia juga makin aktif membuat rakaman video bersama ibunya dan secara tak langsung mengeratkan lagi hubungan ibu dan anak.

   Sejak tular dengan video pisau berkenaan, beberapa perkongsian video lain di muat naik Ikhlas di IG mendapat sambutan positif daripada warganet yang mengikutnya kerana berasa terhibur.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 2:09 PM