Diana bersama suami dan anak-anak.FOTO IG Diana
Diana bersama suami dan anak-anak.FOTO IG Diana
Sudirman Mohd Tahir


Pelakon, Diana Rafar berkongsi hamil anak ketiga dengan usia kandungan mencecah lima bulan.

Diana, 38, atau nama sebenarnya Adiana Abdul Rafar berkata, kesihatannya tidak menentu selain mengalami alahan teruk sepanjang kehamilan.

"Alhamdulillah, rezeki yang Allah bagi ini memang tak pernah terduga. Saya ingat cukup setakat dua saja, tapi tiba-tiba awal tahun 'sangkut' pula.

"Tidak dinafikan kesihatan saya agak terganggu dari awal kehamilan sampai sekarang. Banyak alahan yang dialami dan saya mampu berdoa saja. Nasib suami memahami.

"Malah, saya juga tak boleh pakai mekap dan bersiap. Memang akan 'mabuk' dan pusing mata sampai rasa nafas tak cukup. Banyak kali cuba, tapi masih sama. Sekarang ini sudah okay sikit. Kadang mekap separuh jalan saya terus cuci dan baring," katanya kepada Harian Metro.

Diana yang juga isteri kepada pelakon, Zamarul Hisham berkata, dia bersyukur apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Terima kasih PKP. Saya bersyukur dalam keadaan begini Allah bagi masa yang cukup untuk suami ada bersama dan boleh jaga saya selama beberapa bulan ini.

"Apa pun saya mohon pada semua agar sentiasa mendoakan saya dan bayi dalam kandungan sihat dan selamat. Terima kasih pada semua yang tak henti memberikan ucapan tahniah dan selamat hari jadi kelmarin," katanya.

Diana yang dijangka bersalin pada September depan mengakui tidak kisah mengenai jantina bayi yang bakal dilahirkan.

"Anak kami, Kashfi and Kayla sangat teruja. Mereka selalu tanya adik buat apa dalam perut, adik perempuan atau lelaki, sudah makan atau belum dan banyak lagi.

"Alhamdullilah, kerenah anak-anak sedikit sebanyak melegakan alahan ini.

"Saya tidak kisah anak lelaki atau perempuan. Sebab Allah sudah kurniakan sepasang buat kami. Cuma, mereka bergaduh, seorang nak adik lelaki dan seorang lagi perempuan," katanya.

Diana dan Zamarul yang berkahwin pada 16 Mei 2009 dikurniakan dua cahaya mata, Kashfi Haiqal, 10, dan Kayla Reysha, dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 8:00 AM