ZIZI Kirana.
ZIZI Kirana.
Syafil Syazwan Jefri

 

PENYANYI Zizi Kirana tersentuh apabila ada peminat bukan Islam tertarik untuk memeluk Islam selepas mendengar dan menghayati dendangan selawatnya.

Zizi ketika dihubungi berkata, perasaannya ketika membaca komen peminat itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata kerana maknanya terlalu besar buat dirinya.

"Ketika membaca komen itu, terus saya ucapkan Alhamdulillah dan Allahuakbar. Tak pernah saya terima komen sebegini dan sejujurnya, hati saya sangat tersentuh.

"Betapa besarnya kuasa Allah, siapa sangka lagu selawat yang saya sendiri rakamkan dengan hanya menggunakan telefon pintar dapat menyentuh dan membuka hati orang yang mendengar," katanya kepada Harian Metro.

Zizi juga memuat naik tangkap layar komen itu di Instagram Story dan dalam masa sama menegaskan, ia bukan bertujuan untuk membangga diri.

"Saya kongsikan bukan kerana saya nak membangga diri atau apa, sebaliknya saya nak kongsikan dengan pengikut saya di Instagram bahawa ada benda yang kita rasakan kecil sebenarnya besar nilainya buat orang lain," katanya.

Menurut Zizi, dia kagum dengan pendengar yang menggunakan nama akaun YouTube Daniel Pang itu kerana benar-benar menghayati dendangan itu.

"Dia benar-benar menghayati setiap perkataan itu kerana dia kongsikan sekali bahagian minit ke berapa yang paling disukainya.

"Saya juga ada sertakan lirik dalam bahasa Melayu dan juga bertulisan rumi untuk memudahkan orang yang mendengar menyanyikan bersama," katanya.

Zizi memuat naik video itu bersesuaian dengan sambutan Nuzul Al-Quran, Ahad lalu dan sempena Ramadan.

"Saya kongsikan video itu sesuai dengan masa sekarang. Pada awalnya, saya berbincang dengan pengurus saya sama ada wajar atau tidak untuk saya kongsikan di YouTube.

"Memandangkan ia adalah satu perkara yang baik, saya kongsikan saja dan sama ada orang akan dengar atau tidak, itu perkara kedua. Satu lagi perkara menyedihkan yang berlaku pada hari sama adalah apabila saya dikhabarkan, ada peminat saya dari Indonesia, yang rapat dengan saya meninggal dunia," katanya.

Zizi membawakan lagu selawat itu dengar versi seorang Qariah dari Indonesia,dan mengalunkan dengan caranya yang tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 6:40 PM