X
Jamal Abdillah.
Jamal Abdillah.
Ridzuan Abdul Rahman


"SAYA hanya ambil yang positif apa diperkatakan masyarakat berkenaan isteri mengandung lagi," kata Datuk Jamal Abdillah mengenai pandangan pelbagai pihak sebaik mendapat tahu isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 25, hamil anak kedua mereka.

Jamal, 61, berkata, dia memahami kebanyakan mereka bersimpati dengan isterinya yang tidak sempat berehat selepas melahirkan anak mereka, Nur Azura Yamani yang kini berusia tujuh bulan.

"Mereka tak tahu kita sebenarnya 'terbabas' dan ia adalah rezeki. Malah banyak kawan-kawan saya ucap tahniah kerana ia satu benda baik. Saya hanya menunaikan tanggungjawab apabila dia sudah selesai berpantang. Saya sebagai suami kena teruskan tanggungjawab untuk bagi nafkah zahir dan batin," katanya.

Menurutnya, sudah semestinya dia memastikan akan memberi makanan berkhasiat kepada isterinya.

"Saya memang prihatin dengan kesihatan isteri sejak mula tahu dia hamil semula. Perkara yang sama dilakukan ketika dia mengandungkan Azura dan alhamdulillah sampai sekarang Azura tak pernah sakit atau demam kerana saya amat jaga kesihatan isteri waktu mengandung. Setiap bulan saya pastikan dia jumpa doktor untuk ambil suntikan yang dibenarkan. Apa yang doktor sarankan saya ikut," katanya.

Jamal turut mengakui kehadiran orang baru menjadikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga bertambah berat.

Bagaimanapun dia yakin setiap anak yang lahir akan ada rezekinya nanti.

"Buat masa ini jantina anak kami belum tahu dan hanya akan diketahui apabila kandungan masuk 18 minggu. Saya mengharapkan anak lelaki tapi kalau perempuan juga saya terima dengan hati terbuka. Nama belum ada setakat ini, tapi apabila lahir dan tahu jantina, baru saya akan letak nama," katanya.

Menurut Jamal, dia juga mungkin meminta Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mencadangkan nama yang sesuai nanti.

"Mereka adalah kenalan rapat saya. Saya akan minta mereka berikan nama yang agak moden tapi mengandungi makna tersendiri. Sekiranya perempuan, isteri pula nak letak nama Sofea kerana kita ada pelakon Sofea Jane. Mungkin juga kami boleh letak nama Sofea Yamani," katanya.

Jamal berkahwin dengan Zai Izzati pada 1 April 2017 dan pada 10 Oktober lalu Azura dilahirkan.  

Menerusi dua perkahwinan sebelum ini, Jamal memiliki dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13. 

Sementara itu, Jamal baru sahaja tampil dengan sebuah lagu hari raya berjudul Moh Beraya yang turut menampilkan penyanyi Shiha Zikir.

Istimewanya lagu ciptaan Harry Khalifah dan lirik Ajim Maze ini turut menampilkan suara Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan beberapa individu lain.

"Idea ini dicetuskan oleh Menteri Besar dan setiausaha politiknya. Mereka minta saya carikan sebuah lagu yang sesuai untuk dijadikan lagu raya negeri Perak. Benda dah lama dirancang dan proses rakaman sudah dilakukan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Memandangkan dalam PKP, muzik video lagu ini dihasilkan dalam bentuk ilustrasi wajah kami," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 6:01 PM