Jamal dan Osama Yamani. FOTO Instagram
Jamal dan Osama Yamani. FOTO Instagram
Norhayati Nordin


MANA tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Begitulah juga sokongan padu diberikan penghibur terkenal, Datuk Jamal Abdillah, 61, kepada dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13, yang mengikut jejak langkahnya sebagai penyanyi.

  

  Osama yang menggunakan nama pentas Yamani Abdillah muncul dengan lagu solo pertama berjudul Bunga Seroja manakala, Zaki pula dengan lagu Percayaku.

  

  Mengulas lanjut, Jamal dihubungi berkata sebagai bapa dia sekadar memberi galakan positif kerana tahu bidang nyanyian adalah minat anak-anaknya.

  

  "Apapun, impian utama saya tetap mahu mereka berjaya dalam pelajaran hingga ke menara gading. Memiliki pencapaian akademik yang baik dan kerjaya nyanyian buat masa ini biarlah sampingan sahaja.

   "Saya tidak halang pun mereka terbabit dalam kerjaya seni berikutan bakat itu sudah diwarisi. Cuma, pelajaran penting untuk jaminan masa depan yang lebih baik. Saya mahu pelajaran dan kerjaya seni mereka bergerak seiring," katanya kepada Harian Metro.

 Jamal dan Zaki Yamani. FOTO Instagram
Jamal dan Zaki Yamani. FOTO Instagram

  

  Ditanya sejauh mana melihat pencapaian anak- anaknya, Jamal berkata masih belum mampu terlalu dibanggakan lagi. Banyak ilmu dan pengalaman yang harus mereka timba.

  "Namun, saya dapati mereka berdua sangat berusaha gigih dan fokus pada apa yang ingin dicapai. Kesungguhan ditunjukkan mereka membuat saya amat bersyukur.

   "Selain itu, tak nampak juga mereka cuba tumpang nama dan populariti saya. Setakat ini, Osama dan Zaki sangat berusaha dengan cara mereka sendiri sepenuhnya.

  "Cuma, dari segi vokal mereka yang tak jauh lari daripada saya, memang tak boleh nak kata apa. Itu anugerah daripada Allah buat mereka untuk mewarisi saya," katanya.

  

Sempena Aidilfitri  tidak lama lagi, Jamal bergabung dengan Osama menyanyikan lagu raya terbaru mereka berjudul Hari Raya Menjadi Saksi.

 

  Sementara itu, melalui lagu Bunga Seroja nyanyian Osama yang muzik video rasminya dilancarkan di YouTube dua bulan lalu, sudah mencatat lebih 840,0000 tontonan.

   Manakala, Zaki menerusi lagu Percayaku bergenre balada, muzik videonya di YouTube sudah mencecah lebih 500,000 tontonan sejak dimuat naik tiga bulan lalu.

  Jamal yang mendirikan rumah tamgga dengan Datin Zai Izzati Khiruddin, 25, pada 1 April 2017 kini dikurniakan cahaya mata Nur Azura Yamani berusia tujuh bulan dan kini menanti cahaya mata kedua. Manakala, Osama dan Zaki adalah cahaya mata Jamal menerusi dua perkahwinan  terdahulunya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 10:53 AM