Norlia Ghani
Norlia Ghani
Norhayati Nordin


PELAKON vateran, Norlia Ghani, 71, mengaku berhadapan masalah ketirisan kewangan kerana sudah dua bulan tidak bekerja sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan  Bersyarat (PKPB) oleh kerajaan bagi menangani wabak Covid-19.

   Norlia yang lebih 20 tahun berstatus ibu tunggal ketika dihubungi berkata, dia memang bergantung sepenuhnya dengan kerjaya seni untuk sumber pendapatan bagi menampung kehidupan.

  "Setakat berkurung di rumah ketika ini sebab tak boleh 'shooting', saya tiada masalah dengan barangan keperluan makanan kerana sangat mencukupi.Bantuan makanan sentiasa diterima.

  "Tapi, pada masa sama duit juga diperlukan untuk bayar sewa dan bil-bil semasa. Namun, sekarang saya tak malu mengaku alami masalah kewangan dan nak buat macam mana memang tak boleh keluar bekerja," katanya kepada Harian Metro.

  Ditanya mengenai bantuan kewangan diterima, Norlia berkata sebelum ini dia pernah menerima bantuan dari Baitulmal tetapi tidak lagi sejak Januari lalu.

   "Untuk mendapat bantuan daripada Baitulmal, saya perlu memperbaharui borang permohonan dan sudah pun dibuat pada Disember lalu, namun hingga kini bantuan kewangan itu tidak diterima lagi.

   "Bagaimana status permohonan baharu saya tidak diketahui dan nak pergi ke Baitulmal untuk periksa pun, situasi sekarang tidak mengizinkan. Selain itu, saya juga memohon Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diumum oleh kerajaan.

  "Alhamdulillah, BPN saya diluluskan sebanyak RM800 dan dapatlah merasa bayaran pertama sebanyak RM500. Namun, bagi bayaran kedua iaitu selebihnya RM300, tidak diluluskan pula dengan alasan saya ada sebuah syarikat.

   "Kalaulah betul ada syarikat, sudah tentu sekarang saya bertaraf 'janda kaya' dan tidak tinggal di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) hingga kini," katanya hanya mampu menganggap tiada rezeki.

   Mengulas kerjaya seni, Norlia berkata sepatutnya Ramadan ini dia terbabit dengan penggambaran drama 26 episod untuk RTM. Bagaimanapun, penggambaran diberhenti serta-merta pada 18 Mac lalu selepas dua hari dijalankan.

   Norlia, bagaimanapun berkata pelakon sepertinya kena akur berdepan masalah kewangan kerana tidak ada royalti seperti diterima oleh penyanyi. Ujarnya, sebagai pelakon walaupun drama dibintangi banyak kali diulang siar pihak stesen TV, ia sekadar ulangan semata-mata.

 

  Katanya, kalaulah ada royalti pasti dia tiada masalah kewangan pada masa sekarang. Apapun, ujarnya dia sedar pada situasi penularan Covid-19 dalam negara ketika ini, banyak orang berhadapan masalah kewangan terjejas dan bukan dirinya seorang sahaja.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 3:15 PM