Taeyeon
Taeyeon
Georgie Joseph

ANNYEONGHASEYO!!! Kesibukan yang tidak berpenghujung semestinya memberi tekanan buat selebriti Korea Selatan.

Mereka tentunya perlukan masa untuk lari daripada jadual aktiviti seni yang padat pada waktu tertentu.

Bagi penyanyi Taeyeon yang juga anggota Girls' Generation, dia biasanya menceriakan diri dengan mengunjungi kedai alat solek.

Meskipun aktiviti itu nampak normal, namun dia menggunakannya sebagai cara melepaskan tekanan.

Disebabkan itu, dia tidak kisah apabila berkunjung ke premis sebegitu berkali-kali apatah lagi setiap kali dirinya terasa tertekan.

Di samping itu, dia juga sentiasa memastikan dirinya tidak ketinggalan mendapatkan koleksi terbaru barangan kecantikan.

"Sekiranya saya terlalu bosan dan tiada sebarang acara istimewa untuk dilakukan, saya akan mengunjungi kedai solekan. Saya tidak kisah habiskan masa di sana disebabkan saya rasa sangat seronok.

"Saya suka mencari produk yang baru dilancarkan, membelek, mencubanya dan membeli beberapa barangan untuk dicuba di rumah pula. Secara tidak langsung, aktiviti itu menjadi satu daripada cara saya membuang stres," katanya.

Menjadi antara artis wanita yang disegani disebabkan penampilan, Taeyeon mengakui sangat menjaga rapi aspek terbabit.

Bahkan, dia adalah sejenis sangat terperinci apabila membabitkan perubahan gaya pada dirinya.

Namun dia tetap terbuka dan sentiasa mendapatkan tunjuk ajar daripada pakar yang lebih arif mengenai dunia penampilan.

Baginya, setiap ilmu baharu yang digarapnya daripada ramai orang adalah sangat penting untuk memperbaiki diri.

"Apabila saya melakukan transformasi penampilan yang drastik, saya mahu berusaha lakukan sendiri. Kalau buat sesi fotografi, saya seronok dengan prosesnya kerana dapat mendengar pelbagai pendapat daripada orang yang lebih pakar.

"Mereka yang saya maksudkan lebih tahu mengenai bidang masing-masing. Justeru, setiap kali bekerja dengan mereka, hasil pun jauh lebih baik dan berkualiti.

"Selain itu, saya juga dapat banyak ilmu baharu dan pandangan yang saya sendiri tidak pernah terfikir sebelum ini. Bagi saya, itu yang menjadikan setiap proses membabitkan penampilan diri lebih bermakna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 6:45 AM