RASHID Sibir ketika memenangi Anugerah Pengarah Terbaik Drama, pada Anugerah Skrin 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). FOTO AZIAH AZMEE
RASHID Sibir ketika memenangi Anugerah Pengarah Terbaik Drama, pada Anugerah Skrin 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). FOTO AZIAH AZMEE
Sudirman Mohd Tahir

 

PENGARAH Rashid Sibir mahu semua pelakon dan kru berfikiran positif dan bersedia mengikut normal baharu penggambaran berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan kerajaan.

Rashid berkata, lampu hijau diberikan kerajaan itu perlu disambut baik dan penggiat seni perlu buktikan mampu untuk bekerja dalam suasana baharu.

"Dalam perkara ini semua kena berfikiran terbuka dan fikir positif. Memang semua risau dan was was. Sebab itu kena ikot SOP. Kerajaan sudah beri keizinan, jadi kita mesti buktikan kita boleh menjalani penggambaran  dalam normal baharu.

"Semua cerita dan 'screenplay' mestilah ikut normal baharu. Kita yang mesti ubah. Tidak perlu babak peluk dan gaduh. Drama Melayu pun berapa banyak yang ada babak gaduh. Kalau ada pun kita buat 'camera trick'. Selama ini pun banyak cara penipuan sudut kamera yang kita buat nak tunjuk pergaduhan yang betul. Tidak perlu pun gaduh betul-betul. Dalam keadaan macam ini, kita tak payah buat drama yang ada pergaduhan atau babak berpelukan. Kita yang mesti berubah," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Rashid, penggambaran tidak akan bermasalah sekiranya semua pihak memberikan kerjasama baik.

"Semua akan menjadi baik kalau kita bersama-sama berubah dan ikut keadaan sekarang ini. Sebenarnya, satu rahmat kerajaan benarkan penggambaran drama dan filem ini. Anak seni boleh kerja untuk tampung kehidupan. Kita patut bersyukur. Tiga bulan pun sudah 'sesak' sangat. Takkan nak tunggu Covid-19 kosong baru nak kerja. Berapa lama lagi?

"Pusat beli-belah pun sudah buka dan ikut SOP dan selamat tidak ada kluster 'mall'. Set dan lokasi penggambaran lagi selamat sebab 20 orang saja dalam satu-satu masa. Insya-Allah, kita boleh boleh teruskan penggambaran dan ikut SOP," katanya.

Dalam masa sama, Rashid menjelaskan teknik 'camera trick' dapat menyelamatkan beberapa babak yang diperlukan.

"Kita sendiri ubah cerita kita. Jangan buat apa yang dilarang. Selepas selesai masalah ini. mana nak buat babak berpelukan, buatlah. Sekarang tak boleh. Lagi pun TV sudah kurang babak sebegini. Bersalaman pun kita boleh guna 'camera trick'. Jaga penjararakan sosial dan tiada bersentuhan. Semua boleh dilakukan.

"Covid-19 boleh dijangkiti di mana saja yang penting kita berjaga-jada dan ikut SOP kerajaan. Semua bersatu untuk kerja dan tambah baikkan SOP supaya selamat. Kru, pengarah dan pelakon mesti sama-sama berpikiran postif dan bersama-sama jaga. Kalau semua nak negatif satu apa pun tak boleh jalan," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 8:56 PM