PROGRAM Golden Memories 2 ditayangkan di saluran Rania HD.
PROGRAM Golden Memories 2 ditayangkan di saluran Rania HD.
Sudirman Mohd Tahir

DUA saluran definisi tinggi (HD) baharu iaitu Astro Rania HD (112) dan Astro Aura HD (113) dilancarkan buat pertama kali menerusi Pakej Indo Pek bermula esok.

Ia turut diperbaharui dengan pengisian lebih padat, dinamik dan terkini merangkumi pelbagai genre untuk hiburan tontonan seisi keluarga.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Nusantara, Raja Jastina Arshad berkata, selaku pembekal kandungan berbayar utama negara, Astro sentiasa memperkenalkan pelbagai pembaharuan dinamik bagi menambah baik mutu perkhidmatan.

"Buat pertama kalinya kualiti siaran kandungan dalam Pakej Indo Pek dinaik taraf ke format definisi tinggi menerusi dua saluran baharu ini sebagai daya penarik utama untuk memberikan kepuasan pengalaman menonton yang optimum kepada pelanggan.

"Astro Rania HD adalah saluran hiburan yang mengetengahkan variasi kandungan seperti sinetron, telefilem dan program realiti. Manakala saluran Astro Aura HD pula lebih memfokuskan pelbagai format kandungan berkaitan muzik terutama dangdut.

"Sebagai pembuka tirai, sinetron Cinta Buta yang pernah tercalon dan diiktiraf menerusi pelbagai kategori di SCTV Awards 2019 dan Festival Film Bandung 2019 bakal dibawakan secara eksklusif. Selain itu, program realiti Dangdut No 1. Indonesia, Liga Dangdut Indonesia dan Golden Memories anjuran stesen Indosiar juga bakal ditayangkan," katanya.

LIGA Dangdut Indonesia 2020 di saluran Aura HD.
LIGA Dangdut Indonesia 2020 di saluran Aura HD.

Menurut Jastina, jalinan perhubungan rangkaian dengan stesen Indosiar dan SCTV membolehkan lebih banyak program terbaik bakal disajikan kepada pelanggan.

"Jalinan perhubungan rangkaian dan kolaborasi strategik dengan rangkaian dengan stesen TV itu, sekali gus mengukuhkan lagi aspirasi Astro untuk terus membariskan program hiburan Indonesia terkini yang berkualiti tinggi kepada pelanggan," katanya.

Program yang disiarkan di kedua-dua saluran baharu itu turut disertakan dengan sarikata Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Sebagai pengenalan dan tanda penghargaan sempena Aidilfitri, akses pratonton secara percuma untuk kedua-dua saluran juga akan dibuka istimewa buat semua pelanggan Astro mulai 23 Mei ini sehingga 30 Jun depan.

Dengan pelancaran dua saluran baharu itu, dua saluran asal dalam Pakej Indo Pek iaitu Bintang (141) dan Pelangir (142) akan ditamatkan perkhidmatan siarannya bermula 1 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 6:30 AM