AYIE (kiri),Radin, dan Aina Abdul. FOTO IG
AYIE (kiri),Radin, dan Aina Abdul. FOTO IG
Najiy Jefri

JIKA sebelum ini ramai yang teruja membuat persiapan termasuk mengatur rancangan untuk balik kampung menjelang Aidilfitri, namun tahun ini mencipta sejarah baharu apabila kerajaan tidak membenarkan perjalanan merentas negeri untuk pulang ke kampung berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan Covid-19.

Tidak terkecuali, golongan selebriti antara yang terpaksa menangung rindu selepas berbulan-bulan tidak bersua muka bertemu insan tersayang demi mencari rezeki di ibu kota.

Antaranya penyanyi kumpulan Floor 88, Ayie, 23, yang hampir lapan bulan tidak pulang ke Tawau, Sabah bertemu keluarganya.

"Ini pengalaman pertama saya apabila tidak dapat pulang ke Tawau bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga. Kalau ikutkan hati memang nak balik sebelum ini, tapi saya bimbang jika urusan untuk kembali ke Kuala Lumpur mengalami masalah. Jadi saya ambil keputusan untuk tinggal di sini saja. Namun, saya bersyukur kerana ada saudara-mara yang tinggal di Ampang, jadi tidaklah keseorangan.

"Memang pada awalnya ibu merajuk dengan saya sekejap sebab anak sulungnya tidak dapat balik beraya, tapi dia akhirnya terima dengan hati terbuka. Aidilfitri tahun ini akan menjadi paling syahdu," katanya.

Penyampai radio, Radin turut keseorangan menyambut Aidilfitri apabila tidak dapat pulang ke Ipoh, Perak  dan mengakui terlepas beberapa perkara penting yang dilakukan setiap kali tiba Aidilfitri.

"Ibu saya akur dengan keputusan yang ditetapkan kerajaan apabila tidak boleh merentas negeri. Mujurlah abang dan kakak saya ada di Ipoh bersamanya.

"Namun, tahun ini saya akan merindui banyak perkara penting seperti memasak rendang ayam menggunakan dapur kayu yang sudah menjadi acara wajib kami sekeluarga setiap tahun. Saya juga tidak berkesempatan untuk bersalaman dengan ibu sebelum keluar sembahyang raya dan menziarahi kubur arwah ayah," katanya kali terakhir dia bertemu ibunya pada Februari lalu.

Sementara itu, penyanyi Aina Abdul buat pertama kali tidak pulang menyambut Aidilfitri di kampungnya di Seremban, Negeri Sembilan.

"Selalunya hari raya pertama saya dan ahli keluarga akan berada di Mersing, Johor iaitu kampung ibu. Kemudian kami akan ke Port Dickson untuk menziarahi saudara mara arwah ayah. Mujur sempat berjumpa ibu awal Mac lalu. Dia juga sarankan saya kembali ke Kuala Lumpur kerana lebih mudah melakukan kerja.

"Saya taklah sedih sangat. Lagipun jarak kami tak begitu jauh. Sejak kecil ibu sudah didik supaya hidup berdikari dan mengutamakan pekerjaan," katanya.

 

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 10:03 AM