BRONT Palarae.
BRONT Palarae.
Ridzuan Abdul Rahman

FILEM TyIcKooUnS arahan Izan Hailmey Mokhtar menjadi karya pertama yang ditayangkan menerusi platform talian, ewayang.com bermula hari ini.

Penerbitnya, Noor Ismahanum Mohd Ismail bersyukur apabila filem terbitan Worldwide Far East Bhd yang dihasilkan pada 2012 menemui penonton bermula hari ini.

"Banyak cabaran dan dugaan ditempuh dalam perniagaan sepanjang menyiapkan filem ini. Saya menghasilkan filem ini kerana minat mendalam terhadap konsep filem berteraskan rumpun dan kehidupan sejagat. Untuk itu, saya mengetengahkan filem nukilan skrip Khairunazwan Rodzy yang juga seorang penggiat teater tanah air," katanya.

Izan Halimey berkata, TyIcKooUnS adalah gabungan perkataan Tycoon dan Tikus.  Tycoon adalah simbolik kehidupan manusia yang pelbagai. Tikus pula simbolik dalam filem ini yang sentiasa mencari peluang dan ruang untuk meragut serta merampas hasil orang lain. 

Filem ini dibintangi pelakon dari Malaysia dan Indonesia. Pelakon Malaysia yang terbabit antaranya Datuk Aaron Aziz, Remy Ishak, Bront Palarae dan Anzalna Nasir, manakala pelakon Indonesia pula Derry Darajat, Temon Templer, Jaim Al Rashid dan Anggun. 

Noor Ismahanum berkata, filem yang menelan belanja hampir RM2 juta itu dipilih ditayangkan melalui platform atas talian memandangkan pandemik Covid-19 masih belum pulih.

"Saya lihat ketika ini kebanyakan penonton lebih suka menonton filem atau drama secara atas talian. Kami ingin menyahut seruan kerajaan meneruskan normal baharu ini. Ia mengikut keperluan dan fungsi syarikat produksi untuk lebih kreatif bagi menjamin ekonomi sekali gus memberi ruang kepada penonton untuk menonton filem baharu walaupun dalam virus Covid-19 belum berakhir," katanya.

Sementara itu, Pengurus Projek ewayang.com, Djpool Soul Masters berkata, ia diwujudkan bertujuan menayangkan filem yang bakal mencetuskan fenomena baru dalam kalangan penonton.

"Pendekatan ini dilihat sebagai satu alternatif terbaik ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini. TyIcKooUnS adalah projek sulung ewayang.com," katanya.

Filem TyIcKooUnS boleh dilanggan dengan harga RM15. Istimewanya, penerbit menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM250,000 untuk penonton bertuah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 10:44 AM