AMAR dan Amyra beraya di Hulu Klang dan Kajang.
AMAR dan Amyra beraya di Hulu Klang dan Kajang.
Ridzuan Abdul Rahman

KEHADIRAN seorang lagi cahaya mata ternyata menambah seri sambutan Aidilfitri pasangan artis, Amar Baharin dan Amyra Rosli.

Bagaimanapun, demi keselamatan keluarga berikutan penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mereka mengambil keputusan untuk beraya di dua rumah saja iaitu rumah keluarga masing-masing.

Amar berkata, mereka meraikan Aidilfitri hari ini di rumah keluarga isterinya di Hulu Klang terlebih dahulu sebelum bertandang ke rumah keluarganya di Kajang.

"Kami mematuhi PKPB selain bagi menjaga kesihatan dua anak yang masih kecil. Aqeef Anaqi kini sudah lebih dua tahun, manakala Ayra Aryssa baru nak masuk empat bulan.

"Dia pun masih terikat dengan amalan keluarga kami iaitu 'pantang tanah' apabila bayi tak dibenarkan memijak tanah sehingga genap berusia setahun.

"Semua saudara-mara lebih faham kali ini dan tak perlulah saya jelaskan kenapa tak ziarah mereka," katanya.

Menurutnya, PKPB seakan-akan satu hikmah apabila semua orang tahu mereka dilarang berziarah.

BERSAMA dua anak mereka, Aqeef Anaqi (kanan) dan Ayra Aryssa.
BERSAMA dua anak mereka, Aqeef Anaqi (kanan) dan Ayra Aryssa.

"Mungkin ini cara yang lebih mudah untuk fahamkan saudara-mara. Ada antara mereka yang tak pernah jumpa Aryssa. Tapi semua faham sekarang ada PKPB, di samping pantang keturunan. Dalam kumpulan WhatsApp keluarga pun tiada yang cakap banyak mengenai keputusan kami.

"Kami takkan singgah rumah mana-mana saudara walaupun mereka tinggal sekitar Kajang. Kami hanya akan berada di Hulu Klang dan Kajang," katanya.

Amar berkata, mereka sebenarnya membayangkan untuk beraya di rumah sendiri di Semenyih tetapi rumah itu gagal disiapkan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sepatutnya rumah kami memang sudah siap, tapi sekarang ditunda hingga Ogos. Kami sepatutnya teruja beraya tapi apabila apabila babitkan nyawa kenalah akur," katanya.

Mengulas persediaan jangka panjang sekiranya PKPB berlanjutan, Amar berkata, dia sudah mempunyai perancangan untuk enam bulan akan datang.

"Dalam keadaan sekarang, saya memang amalkan hidup sederhana dan biasa-biasa. Sepatutnya saya dalam persediaan nak jalankan satu perniagaan.

"Namun melihatkan situasi ekonomi yang teruk, batalkan dahulu walaupun bakal dapat pinjaman daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB)," katanya.

Sementara itu, sebagai seorang ibu, Amyra mengakui keselamatan dua anak mereka mengatasi segala-galanya.

"Saya ikut saja mana yang terbaik difikirkan oleh suami, yang penting kami tetap beraya di rumah kedua-dua keluarga dan itu dah memadai.

"Kami memang tak buat apa-apa persediaan untuk sambut hari raya. Syukurlah Primavalet masih menaja pakaian untuk kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 6:15 AM