ZIZAN Razak. FOTO arkib NSTP
ZIZAN Razak. FOTO arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


PELAWAK popular, Zizan Razak mempersoalkan tindakan segelintir rakyat Malaysia yang masih berdegil dan 'cuba-cuba' pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri walaupun kerajaan melarang perjalanan merentas negeri bagi membendung penularan Covid-19.

Zizan berkata, rakyat Malaysia sepatutnya mengambil iktibar daripada pengalaman sebelum ini yang mana berpusu-pusu pulang kampung ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru dilaksanakan.

"Selepas terbaca petikan berita semalam dengan menyaksikan peningkatan kes baharu, adakah anda rasa berkeinginan untuk balik beraya di kampung lagi? Bukankah kita sudah diajar dari pengalaman lalu ketika mula-mula PKP dijalankan?

"Selepas ramai pulang ke kampung dan seluruh negeri di Malaysia terkena Covid-19, adakah ingin mengulangi kesilapan sama? Adakah anda mahu menjadi pembawa? Walaupun tidak pulang kampung kita masih lagi boleh beraya," katanya.

Zizan yang juga pelakon filem Polis Evo berkata, selain perlu memikirkan soal keselamatan diri sendiri dan keluarga, masyarakat juga perlu mengambil kira penat lelah petugas barisan hadapan.

"Fikirkanlah sekejap pada petugas barisan hadapan, polis dan tentera yang membuat sekatan jalan raya dan tak kira siapa yang bertugas ketika anda sibuk beraya. Tidakah berasa bersalah pada mereka? Tidakkah berasa akan membebankan diri dan negara ini lagi?

"Sudah lebih dua bulan kita bertahan dan penurunan kes nampak sangat bagus. Pujian diberikan dari negara luar buat kita sangat membanggakan dalam menangani penularan wabak ini. Adakah kita sendiri akan rosakan prestasi kita selama ini?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 10:39 AM