REMY Ishak. FOTO ROHANIS SHUKRI
REMY Ishak. FOTO ROHANIS SHUKRI
Georgie Joseph

 

PELAKON Remy Ishak berterima kasih dengan sambutan luar biasa terhadap filem pendek berjudul Ayah Saya Jururawat lakonannya apabila berjaya membuatkan ramai penonton sebak apabila dia memuat naik di Instagram.

Remy, 38, berkata, video kempen Aidilfitri  yang dihasilkan untuk sebuah produk kesihatan itu adalah tanda terima kasih buat barisan hadapan yang terus berjuang memerangi pandemik Covid-19.

"Terima kasih kepada semua yang menonton video kempen raya itu. Tidak ketinggalan memberi komen-komen positif, maklum balas yang baik serta kata semangat. Saya juga ingin berterima kasih kepada keseluruhan produksi yang terbabit dalam penghasilan video itu. Ini adalah cara kami untuk mengucapkan penghargaan buat barisan hadapan yang bertungkus-lumus.

"Penggambaran tak lama pun, cuma sehari saja. Itupun kami rakam sendiri video masing-masing di rumah. Pengarah pun bagi arahan dari jauh saja memandangkan kita pun dalam situasi penjarakan sosial," katanya.

Pelakon Bukan Gadis Biasa itu juga tidak menyangka filem pendek berkenaan berjaya memberikan impak luar biasa walaupun jalan cerita serta cara penggambarannya ringkas.

"Kalau tengok cara penggambarannya, kami tidak pakai kamera mahal pun. Kami memang gunakan kamera telefon bimbit semata-mata seperti yang penonton lihat.

"Itu memang kaedah baharu yang paling sesuai untuk dipraktikkan sekarang. Lagi-lagi dalam bulan Ramadan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)" katanya.

Ia mengenai jururawat lelaki bernama Shahir lakonan Remy yang terpaksa berjauhan dengan anaknya Mastura demi tugas. Dia berusaha sedaya-upaya memberi perhatian kepada anaknya walaupun terlalu sibuk.

Selepas lebih 18 jam dimuat naik, video terbabit mendapat lebih 330,000 tontonan, 39,300 tanda suka dan lebih 1,200 komen.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 4:59 PM