DATUK Awie. FOTO Rohanis Shukri
DATUK Awie. FOTO Rohanis Shukri
Ridzuan Abdul Rahman


"SAYA memang rasa tak selesa apabila loceng pintu pagar berbunyi seawal pagi pada raya pertama baru-baru ini. Kemudian, dengar pula suara kanak-kanak cakap nak raya! nak raya!," kata penyanyi Datuk Awie mengenai pengalamannya berdepan situasi sekumpulan kanak-kanak yang datang berkunjung ke rumahnya pada 1 Syawal lalu.

Awie berkata, anaknya terpaksa keluar menemui kumpulan kanak-kanak itu untuk minta maaf dan memberitahu mereka bahawa tidak menerima tetamu. 

"Saya pelik bagaimana ibu bapa boleh biarkan anak-anak mereka keluar dalam situasi berbahaya pandemik Covid-19 begini.

"Saya pun tak tahu dari mana datangnya kunpulan  kanak-kanak itu dan beraninya ibu bapa benarkan anak mereka keluar beraya. Saya minta maaf banyak-banyak kerana perlu tegas dalam perkara ini," katanya.

Menurut Awie untuk raya kali ini, dia memang betul-betul akur dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diarah kerajaan. 

"Saya pun raya di rumah sendiri dan hanya pergi beraya rumah kakak. Pada hari raya pertama, rumah saya dikunjungi oleh adik beradik sahaja. 

"Manakala pada raya kedua, ada kawan-kawan datang bertandang tapi yang betul-betul rapat sahaja. Saya tak nak terima ramai tetamu kerana bimbang orang yang tak suka saya buat laporan polis dan jadi isu pula nanti" katanya.

Awie mengakui dia  tidak tahu bagaimana hati budi orang dan lebih suka mencari jalan selamat. 

"Jadi baiklah jangan cari fasal. Kalau berlaku sesuatu nanti, silap-silap dikata 'kluster Awie' pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 3:54 PM