Soffwany dan Raja Afiq dah tunang.
Soffwany dan Raja Afiq dah tunang.


ANGGOTA polis yang kini bergelar penyanyi dikenali Soffwany Yusoff mendedahkan sudah mengikat  pertunangan dengan pelakon Raja Afiq di Johor pada awal Mac lalu.

Soffwany yang bertugas dalam Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, mereka merancang untuk bernikah pada Ogos ini, namun hasrat murni berkenaan terpaksa ditangguhkan kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dikuatkuasa.

"Sepatutnya kami merancang untuk menamatkan ikatan pertunangan ini ke fasa perkahwinan pada Ogos nanti,  tetapi memandangkan PKPB masih berjalan, maka terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh lain.

"Cuma, harapan kami semoga  majlis pernikahan diimpika dapat berlangsung sebelum tahun depan. 

"Namun, saya anggap apa yang berlaku ini ada hikmah di sebaliknya kerana kami belum buat sebarang persiapan lagi seperti Afiq pun belum menghadiri kursus kahwin. 

"Selain itu, saya juga perlu menjalani beberapa prosedur permohonan lain memandangkan kerjaya sebagai anggota polis," katanya.

Menurut Soffwany atau nama sebenarnya, Fairuzziha Hazwany Mohamad Yusoff, 31, dia dan Raja Afiq juga tidak berniat merahsiakan majlis pertunangan selepas tiga bulan berkenalan.

 

"Ketika di awal perkenalan kami, saya jarang melayan Afiq yang kerap menghantar mesej peribadi di Instagram. Namun, melihat pada kesungguhan itu saya akhirnya tertarik untuk berkawan.  

"Waktu berkawan, kami berborak banyak perkara terutama membabitkan perjalanan tugas polis kerana Afiq sangat berminat nak tahu.

 

"Daripada situ, kami bertukar nombor telefon dan membuat keputusan untuk bertunang pada Mac lalu. Cuma, tarikhnya kami biarlah rahsiakan dan majlis pertunangan pun berlangsung di kediaman keluarga saya di Johor Bahru," katanya.

Sebelum ini, Soffwany pernah tular berikutan kelunakan suaranya mendendangkan lagu raya dan dia  juga bernaung sebagai penyanyi rakama di bawah syarikat SRC Records.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 8:25 PM