Syafiq Farhain.
Syafiq Farhain.


PENYANYI Syafiq Farhain mengakui tidak bertuah seperti orang lain yang mempunyai seribu satu pengalaman indah menyambut Syawal bersama insan bergelar bapa.

Syafiq,26, yang juga anak kepada bekas vokalis kumpulan Iklim, Allahyarham Saleem berkata selepas ditinggalkan arwah sejak berusia lapan tahun, dia tidak mempunyai kenangan indah menyambut Aidilfitri bersama bapanya.

"Kalau nak imbas memori raya bersama arwah ayah ketika saya kecil, memang tak ingat. Ini kerana, ketika saya kecil arwah memang sibuk dengan kerjayanya. Ditambah pula, saya sudah tidak bersama arwah sejak umur lapan tahun.

"Sejak itu, saya juga tidak merasai kasih sayang seorang bapa hingga dia meninggal dunia.

"Kali pertama saya bertemu semula arwah pun, ketika berumur 15 tahun. Itu pun dalam satu majlis di Bukit Jalil, tapi ketika itu keadaan di sana tidak mengizinkan. Kemudian, saya dapat berjumpa dengannya lagi ketika umur 18 tahun dan itu pun bukan pada hari raya.

"Memang teringin nak ada kenangan menyambut Aidilfitri bersama bapa. Tapi, jalan hidup setiap individu itu berbeza-beza," katanya.

Menurut Syafiq, memandangkan dia sudah terbiasa menyambut Aidilfitri tanpa kehadiran bapa kandung, dia tidak begitu terkilan.

"Saya sudah terbiasa dengan keadaan ini. Sejak kecil saya membesar dengan kasih sayang seorang ibu.

"Jadi, perkara itu sudah sebati dalam hidup saya dan tidak rasa apa-apa bila melihat orang lain menyambutnya dengan bapa masing-masing.

"Jika ada kenangan itu sebelum ini dan masih diingati, mungkin saya akan berasa cemburu dan sedih kerana tidak dapat menyambut Aidilfitri dengan arwah bapa lagi," katanya.

Saleem atau nama sebenar AM Saleem Abdul Majeed menghembuskan nafas terakhir pada usia 57 tahun di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras pada 14 Oktober 2018 akibat cedera kemalangan jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 5:22 PM