FASHA
FASHA
Norhayati Nordin

SITUASI pandemik Covid-19 yang menular di seluruh dunia ketika ini, amat memberi kesan besar dalam perkembangan industri hiburan tanah air.

Banyak acara hiburan dibatalkan untuk mengelak orang ramai berkumpul. Begitu juga, kegiatan menonton di pawagam 'direhatkan seketika' hingga keadaan reda.

Sehubungan itu, bagi meneruskan penayangan filem sudah dihasilkan, penerbit mengambil langkah menyiarkan produk mereka di saluran berbayar popular, Astro First.

Pada 4 Jun ini, penonton yang disarankan duduk di rumah susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berpeluang menyaksikan filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD).

Karya bergenre drama Islamik terbitan produksi Pencil Pictures & Records Sdn Bhd ini diarahkan Rahila Ali sepatutnya ditayangkan di pawagam pada 24 September nanti.

Penerbitnya, Datuk Ayu Puteh berkata, perubahan tarikh dan platform tayangan filem AADD dibuat berikutan PKPB yang dikuat kuasa oleh kerajaan sebagai usaha untuk menangani wabak Covid-19.

"PKPB masih bersambung dan situasi jangkitan Covid-19 masih tidak stabil. Justeru, saya melihat keadaan ekonomi pada kalangan penggiat industri filem tempatan pun pasti ambil masa untuk pulih memandangkan ramai pekerja belakang tabir sudah tiada pekerjaan.

"Maka, pihak kami selaku penerbit juga perlu mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) disyaratkan sebagai langkah keselamatan. Ternyata, banyak faktor utama harus diambil kira," katanya.

AYU
AYU

Mengulas kedudukan kewangan masyarakat, Ayu berkata menunggu keadaan ekonomi kembali pulih seperti sebelum ini dalam jangka masa pendek, bukanlah perkara yang boleh berlaku sekelip mata.

"Oleh yang demikian, saya perlu sentiasa prihatin terhadap nasib pekerja industri yang sudah banyak berjasa dengan membantu mereka. Justeru, saya memutuskan apa yang terbaik untuk filem ini ditayangkan juga walau pun ia bukan keputusan mudah.

"Apapun, saya berpendapat filem AADD ini wajar menjadi tontonan umum kerana banyak mesej positif dimuatkan untuk disalur kepada masyarakat.

"Tambahan pula, pada masa ini didapati ada segelintir masyarakat mula alpa dengan duniawi, ghairah pada keseronokan dan keindahan dunia yang sementara hingga lupa dosa dan pahala termasuk tanggungjawab.

"Saya bukanlah mahu menghakimi dosa pahala orang lain setiap daripada kita semua, tetapi kerana rasa tanggungjawab sesama Islam dan generasi kita yang akan datang. Insya-Allah," katanya.

Filem AADD yang menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik di tanah air dan Scotland pada 2018, dibintangi pelakon seperti Ashraf Muslim, Fasha Sandha, Wanna Ali, Haris Ismail, Fauziah Nawi dan Adam Corrie.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 6:30 AM