JUREY Latiff. FOTO NSTP
JUREY Latiff. FOTO NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

 

   PERSATUAN Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) meminta Kementerian Komunikasi Dan Multimedia (KKMM) agar melihat dan menilai semula serta menambah baik Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) yang sudah disiapkan sejak 2010.

   Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, ia perlu diberi perhatian bagi membolehkan DIKN diterapkan dan dikuatkuasakan segera demi kemajuan industri kreatif negara merangkumi penerbitan filem, TV, animasi dan sebagainya.

   "Kami percaya DIKN seharusnya diperbaharui sejajar dengan perkembangan semasa berbanding dengan keadaan ketika DIKN itu digubal. Banyak perkara baharu yang perlu ditambah baik dalam dasar itu misalnya perkara berkaitan platform baru tayangan 'digital movie' seperti di OTT dan juga beberapa media sosial yang lain seperti Youtube dan sebagainya.

   "Tentulah DIKN tidak mencakupi hal itu kerana hal yang kami sebut tadi adalah baharu belum ada ketika itu namun ia kini sangat berpengaruh," katanya.

   Menurutnya, hasil pendapatan platform baru ini jauh lebih lumayan dari filem di pawagam, tetapi perkara itu kurang dilihat oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang kelihatan seperti tidak menyebelahi penerbitan TV, OTT dan sebagainya.

   "Pasaran permainan 'game' komputer juga sudah begitu besar, samada kita sedar atau tidak dan jauh melebihi pasaran filem di pawagam. Masa sudah tiba untuk perkara itu berubah," katanya.

   Dalam masa sama, PTVM mengucapkan syabas dan tahniah kepada lantikan baharu di FINAS.

   "Semoga mereka semua dapat menggalas amanah dan tanggungjawab itu dengan jayanya dan meletakkan kepentingan negara mengatasi dari segala kepentingan lain samada personal, kewangan atau sebagainya.

   "PTVM berharap pemilihan Ahli Lembaga Pengarah Finas dibuat berdasarkan pengalaman, sumbangan dan pencapaian baik dalam bidang masing-masing disamping mereka ini seorang yang berintegriti," katanya.

   Jurey bagaimanapun mengakui, sedikit kecewa kerana tiada langsung wakil dari PTVM yang tersenarai.

   "Namun, kami akur itulah keputusan yang diambil dan kami menawarkan diri untuk memberi sepenuh kepercayaan dan kerjasama kepada semua lantikan dan semua jawatan terbabit walaupun sekali lagi kami ingin memberitahu bahawa 'revenue' penerbitan TV jauh lebih besar dari penerbitan filem dalam negara ini .

   "Justifikasi 'revenue' itu sepatutnya menjadi pertimbangan pada pembabitan kami di FINAS dan dengan itu juga kami rasa amat wajar suara kami didengari. Tetapi tidak mengapalah, perkara sudah berlaku jangan kita menoleh kebelakang lagi kerana ini bakal membantutkan perkembangan," katanya.

   Jurey menjelaskan, selari dengan peranan PTVM yang menjaga hal dan kepentingan ahli dan industri ini, mereka juga banyak berusaha dan memberikan cadangan yang dimajukan kepada pihak berkenaan untuk tindakan sewajarnya.

   "Antaranya ialah isu kenaikan harga kontrak bekalan kandungan kreatif ke RTM, isu Intelectual Property (IP) yang berat sebelah kepada stesen, isu patuh syariah dan sebagainya.

   "Isu harga sudah sampai ke peringkat akhir dan menunggu pengumuman rasmi dari Kementerian Kewangan.

   "Isu patuh syariah juga sudah sampai ke penyelesaiannya namun belum sempat dinoktahkan oleh menteri terdahulu, berlaku perubahan politik. Sekali lagi perkara ini tertangguh," katanya.

   Jurey mengharapkan Menteri KKMM, Datuk Saifuddin Abdullah untuk terus menyelesaikan perkara ini tanpa bertangguh lagi.

   "Isu IP pun sepatutnya sudah boleh dimuktamadkan. Semasa pertemuan kami dengan Tun Dr Mahathir yang pada ketika itu Perdana Menteri, beliau bersetuju IP dipulangkan kepada penerbit dengan beberapa syarat menang-menang antara penerbit dan stesen. Justeru pada akhirnya, kami mengajak semua pihak bermuhasabah dan berdamai demi kemajuan dan kemakmuran negara.

   "Kami membayangkan pasti elok dan berhemah sekiranya kita dapat berganding bahu berusaha dan bergerak maju dan itu lebih molek dari kita berbalah sepanjang masa dan menuding kiri kanan, depan belakang tanpa pernah menuding kepada diri sendiri. Mari kita duduk semeja berbicara senada seirama mencari permata yang kini hilang entah ke mana," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 2:17 PM