NABILA Razali. FOTO NSTP
NABILA Razali. FOTO NSTP


PENYANYI Nabila Razali tampil membuat permohonan maaf selepas insiden nyanyiannya menerusi lagu Peluang Kedua 'terkucil' ketika muncul dalam siaran langsung sebuah program MeleTop Mega Raya Ria, baru-baru ini.f

Nabila berkata, dia meletakkan sepenuh kesalahan ke atas dirinya dan akan berusaha memperbaiki kelemahan itu selepas ini.

"Assalamualaikum. Pertama kali, saya mohon maaf sangat kerana mengecewakan anda semua. Saya tidak meletakkan kesalahan itu kepada orang lain tetapi diri sendiri.

"Saya akan pastikan memperbaiki diri menjadi lebih baik pada masa depan. Saya pasti setiap apa yang berlaku ada hikmahnya," katanya dalam satu hantaran di Instagram, hari ini.

Bagaimanapun, Nabila bersyukur dan berterima kasih kepada rakan-rakan yang menghubunginya untuk memberi kata-kata semangat ketika dia sangat memerlukannya.

"Kepada yang DM, WhatsApp dan hubungi saya untuk tenangkan saya, terima kasih banyak sebab selalu ada bersama saya dan berikan kasih sayang yang banyak kepada saya.

"Anda tahu siapa anda. Saya sememangnya sangat perlukannya. Saya doakan segala yang baik-baik untuk anda semua," katanya.

Terdahulu, nyanyian Nabila yang terkucil sewaktu menjayakan program berkenaan serta-merta menjadi perbualan warganet.

Rata-ratanya mempertikaikan kemampuan vokal Nabila.

Walaupun persembahannya dikritik hebat, namun masih ramai peminat dan rakan artis yang memberikan kata-kata semangat kepada Nabila supaya terus bangkit kerana tiada siapa yang sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 2:48 PM