NORSAHAR Ahmad.
NORSAHAR Ahmad.
Sudirman Mohd Tahir


PERSATUAN Penggiat Filem,Video dan Multimedia, Sabah (PFVM) berharap pimpinan baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tidak meminggirkan penggiat seni di negeri itu.

Presidennya, Norsahar Ahmad berkata, kesaksamaan dari segi hak dan keadilan dalam apa juga aspek antara Sabah dan Semenanjung Malaysia dapat diberi perhatian.

"Kami mengalu-alukan kedatangan Pengerusi Finas dan Timbalan Pengerusi yang baharu dilantik untuk bertandang ke Sabah sebagai negeri pertama dilawati.

"Lakukan pertemuan bersama penggiat filem bagi berkongsi maklumat demi menambah baik serta memahami masalah penggiat tempatan.

"Pertemuan ini penting supaya kesaksamaan hak dan keadilan dalam apa jua aspek antara Sabah dan Semenanjung Malaysia dapat diterjemahkan sebaik mungkin demi pembangunan industri filem Malaysia," katanya.

Dalam masa sama, Norsahar merakamkan sekalung tahniah kepada semua pimpinan Finas yang baharu dilantik.

"Tahniah kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saiffudin Abdullah yang sudah melantik barisan kepimpinan baharu Finas.

"Selaku Presiden PFVM dan mewakili ahli, kami menyokong penuh di atas perlantikan ini dan PFVM akan sentiasa bekerjasama dengan kementerian melalui Finas dalam apa juga perkara demi kemajuan industri filem tanah air.

"Kami juga berterima kasih atas peluang dan kepercayaan diberikan kepada salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Finas mewakili negeri ini dan berharap dapat menyumbang yang terbaik untuk penggiat filem tempatan.

"Kami juga yakin di bawah kepimpinan Datuk Seri kali ini harapan penggiat filem tempatan untuk melihat Pejabat Pentadbiran Finas di Sabah akan dapat direalisasikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 2:14 PM