ZULIN AZIZ. FOTO IG Zulin Aziz
ZULIN AZIZ. FOTO IG Zulin Aziz


PELAKON dan pengacara Zulin Aziz mengakui bentuk fizikal dan rupa paras kurang menarik menjadi punca dia putus cinta pada Oktober tahun lalu.

Disebabkan itu, Zulin mula nekad untuk menurunkan berat badan selain untuk memastikan kelangsungan kerjaya seninya.

Zulin berkata, penampilannya sekarang ini membuatkan bekas teman lelaki itu kembali menghubunginya.

"Saya tak suka hidup di masa lalu. Memang bekas teman lelaki ada menghubungi untuk kembali berbaik tapi ia tidak akan pernah berlaku kerana dia hanya sesuai berada di masa lalu saya saja.

"Segala cacian dan kutukan yang pernah dilemparkan kepada kawan-kawan di belakang saya membuatkan saya bulat hati untuk turunkan berat badan demi kebaikan.

"Hubungan kami musnah sebab dia tidak ikhlas menerima diri saya seadanya biarpun di depan saya dia memberikan pelbagai janji manis," katanya.

Ditanya mengenai gosip dia kini menjalin hubungan istimewa dengan pelakon Ikhlas Jalil, Zulin berkata, pengalaman lalu banyak mengajarnya untuk mengenali hati budi seseorang dengan lebih mendalam.

"Pengalaman lalu banyak mengajar saya untuk lebih berhati-hati. Kalau dulu mungkin saya terlalu memilih atau menyukai seseorang sedangkan dia tidak sesuai untuk kita, tapi sekarang ini saya lebih selesa berkawan dengan semua orang.

"Mengenai hubungan saya dengan Ikhlas kami hanya sekadar kawan. Kami mula bertegur sejak Ramadan lalu. Buat masa ini saya selesa berkawan dengan semua.

"Saya takut nak cakap lebih-lebih sebab soal jodoh ini rahsia Allah SWT. Tapi, saya selalu berdoa agar dikurniakan teman lelaki yang terbaik untuk saya selepas beberapa kali gagal dalam percintaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 5:54 PM