AMBIL pendekatan jauhkan diri daripada rakan industri sepanjang 13 bulan pegang jawatan Pengerusi Finas.
AMBIL pendekatan jauhkan diri daripada rakan industri sepanjang 13 bulan pegang jawatan Pengerusi Finas.
Sudirman Mohd Tahir

SELEPAS tidak lagi menjadi orang nombor satu dalam Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac mengakui rindu untuk kembali mewarnai industri hiburan tempatan.

Hans, 49, yang juga pelakon berkata, dia mahu kembali mementaskan teater dan bekerjasama semula dengan sahabatnya, Datuk Afdlin Shauki dan Datuk Awie.

"Sepanjang berkhidmat di bawah agensi itu, fokus saya memang pada kerja. Saya tidak ada masa untuk terbabit dalam bidang lakonan dan teater bagi tempoh panjang.

"Sejujurnya, apabila sudah ditamatkan kontrak ada sedikit kelegaan dalam diri. Terus lapang fikiran tanpa perlu memikirkan lagi masalah yang bakal timbul. Kalau ditanya apa perancangan saya selepas ini, memang tidak ada lagi. Cuma, diakui saya rindu nak berlakon teater seperti dulu dengan kawan-kawan. Tapi itulah, kalau nak buat pun keadaan sekarang tak mengizinkan. Kita tengok dulu macam mana," katanya.

Menurut Hans yang juga pengarah dan pelakon filem Lemak Kampung Santan, buat masa sekarang dia mahu rehatkan diri dan fikiran terlebih dahulu.

"Betul, agak lama saya tidak terbabit dalam bidang lakonan. Bukan saja nak berteater, tapi saya pun nak buat filem. Saya nak kembali berkarya. Tapi, kalau nak buat filem selepas ini saya nak kena fikir dulu. Tak kisah kalau filem tak laku, asal saja ia berkualiti," katanya.

Hans juga mendedahkan, sepanjang 13 bulan memegang jawatan Pengerusi Finas, dia mengambil pendekatan menjauhkan diri daripada rakan industri.

"Saya yang menjauhkan diri daripada kawan dan lebih kepada Finas. Bukan apa, saya tak nak orang cakap saya tolong kawan-kawan. Malah, selepas ini saya sudah bebas bersuara. Jadi, saya sudah buka akaun Facebook rasmi. Di situ saya menulis apa saja mengenai industri. Apa yang betul atau tidak. Pendek kata, ini platform untuk saya tegur apa yang berlaku dalam industri," katanya.

Mengulas mengenai pemilihan Pengerusi Finas yang baharu, Zakaria Abd Hamid, Hans menyambut baik keputusan dibuat Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Hans berharap Zakaria akan cepat belajar selok-belok industri memandangkan dia tidak mempunyai latar belakang dan pengetahuan mengenai industri kreatif negara.

"Saya berharap dia akan faham apa industri ini mahukan. Jadi, orang nak pertikaikan pun susah.

"Jadi,dia kena belajar cepat. Cuma, dalam situasi sekarang saya berasakan dia bakal berdepan kesukaran dan cabaran. Saya harap, pimpinan baharu yang lain dapat membantunya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 7:56 AM