FREDDIE. FOTO Arkib NSTP
FREDDIE. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir

PERSATUAN Karyawan Malaysia meminta semua pihak menyambut baik cita-cita pengerusi baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abd Hamid yang ingin membawa filem tempatan ke Oscars atau Academy Awards.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, barisan kempimpinan baharu itu perlu diberi peluang dan masa untuk mereka menguruskan Finas.

"Sedikit mengecewakan apabila terdapat pandangan negatif oleh beberapa penggiat filem tempatan yang mempertikaikan wawasan pengerusi untuk membawa Malaysia sehingga ke tahap pemenang Oscars.

"Bagi kami, ia satu cita-cita dengan tanda aras yang tepat dan satu bentuk motivasi ke tahap yang paling tinggi. Seharusnya kita semua berfikiran positif. Mereka baru saja dilantik ke dalam jawatan itu. Jadi, seharusnya kita memberi masa dan peluang untuk mereka menguruskan perbadanan ini sebaik mungkin dan melakukan perubahan demi kemajuan bersama," katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam kenyataan sama, Freddie berharap tanggapan negatif yang dilemparkan menjadi pendorong dan motivasi buat pimpinan baharu lebih bekerja keras.

"Dalam keadaan pandemik Covid-19 yang mengacau segala aktiviti rutin ini mereka menggalas tugas yang lebih berat untuk membangunkan semula industri. Jadi diharap semuanya berfikiran positif dan memberi sokongan padu.

"Semoga pandangan negatif yang dilontarkan menjadi motivasi untuk berkerja lebih keras bagi menentukan bahawa segala sasaran yang  ditetapkan dicapai dengan penuh cemerlang. Selamat maju jaya Finas," katanya.

Dalam masa sama, Freddie mengucapkan setinggi tahniah kepada Finas atas kejayaan dicapai sepanjang 39 tahun penubuhannya.

"Karyawan ingin mengucapkan tahniah kepada Finas bersempena dengan ulang tahun ke-39, yang mana ia ditubuhkan pada tahun 1981. Sepanjang kewujudan Finas, negara sudah melihat industri perfileman dipandu dengan lebih sistematik serta membangun dengan pesat dan mencapai tahap yang paling cemerlang pada tahun 2018, di mana filem Malaysia mencapai 'box office' lebih dari RM150 juta. Ia satu pencapaian yang luar biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 11:55 AM