MOHAMED Juhari (tengah) akhiri tugasnya sebagai Ketua Pengarah Istana Budaya, Selasa lalu.
MOHAMED Juhari (tengah) akhiri tugasnya sebagai Ketua Pengarah Istana Budaya, Selasa lalu.
Ridzuan Abdul Rahman

PERJALANAN 13 tahun yang sangat indah. Begitulah kesimpulan yang dibuat oleh bekas Ketua Pengarah Istana Budaya (IB), Datuk Mohamed Juhari Shaarani yang mengakhiri tugasnya pada 9 Jun lalu.

Sejak diberi kepercayaan mengendalikan panggung berprestij ini pada April 2007, pelbagai perubahan dilakukan Mohamed Juhari, 60, atau lebih sinonim dengan panggilan abang Jo.

Mohamed Juhari berkata, dia amat berterima kasih kepada nama-nama besar penerbit dan artis yang pernah bekerjasama menjayakan persembahan di IB antaranya Datuk Hans Isaac, Erma Fatima, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Awie dan ramai lagi.

"Paling terbaharu ialah Dayang Nurfaizah yang mencipta sejarah di IB menerusi konsert Kesuma Jiwa bergandingan dengan Datuk Rizalman pada 20 Februari lalu.

"Saya juga tak lupa berterima kasih kepada pihak media yang banyak memberikan kerjasama sepanjang 13 tahun bertugas di IB. Banyak input positif yang diberikan dan tanpa pertolongan media yang saya anggap sebagai adik-adik ini, IB takkan cemerlang sebegini.

Peranan media sangat besar dalam menyemarakkan aktiviti seni di IB. Malah IB sentiasa menjadi tumpuan media yang tak putus-putus menyiarkan berita aktiviti yang berlaku," katanya.

Mohamed Juhari bermula sebagai Ketua Unit Kumpulan Budaya Negara yang mengendalikan kumpulan artis tari di Kompleks Budaya Negara (KBN) pada 1997.

Beliau berpindah ke IB apabila Panggung Negara ( kini dikenali Istana Budaya) siap pada 1999 dan pada 2001 beliau dilantik sebagai pengarah produksi.

Mohamed Juhari dilantik sebagai Ketua Pengarah IB menggantikan Datuk Azhar Abu Bakar yang berkhidmat pada 2005 sehingga Mac 2007.

Dia tidak terkecuali menerima kritikan apabila melakukan pelbagai perubahan antaranya membawa nama besar dalam lakonan ke pentas teater. Tindakan ini mendapat kecaman segelintir pihak antaranya daripada media sendiri.

"Bagi saya kritikan itu sebagai sebahagian daripada pemasaran IB. Kritikan itu selalunya akan buat orang lagi teringin untuk menonton sesebuah pementasan. Saya dapat lihat kritikan yang dibuat pihak media di Malaysia sangat profesional dan bukan bersifat peribadi.

"Ia sangat membina yang boleh menjadi tunjuk ajar dan panduan supaya di masa akan datang IB terus kekal berprestij. Saya sentiasa merujuk setiap perkara kepada rakan-rakan media terutama apabila mahu menganjurkan sesuatu konsert.

"Saya jadikan media sebagai pakar rujuk supaya semua program yang disusun berjalan lancar. Pada saya pandangan media sangat jujur dan mereka adalah pemain utama dalam bidang seni hiburan tempatan," katanya.

Mohamed Juhari berkata, dia juga menjadikan media sebagai tempat untuk mendapatkan maklumat berkenaan bintang-bintang baharu yang popular.

"Saya dapatkan pandangan media terlebih dahulu sebelum program yang akan dipentaskan di IB dibawa kepada pihak kementerian untuk kelulusan.

"Kebiasaannya jarang cadangan persembahan ini ditolak kecuali yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) seperti membabitkan sensitiviti agama dan kaum," katanya.

Mohamed Juhari mengakui sangat terkilan kerana beberapa program yang diatur sebelum dia meninggalkan IB terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

"Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, jadual IB memang dah disusun agak padat. Ada lebih kurang enam program sebelum puasa yang ditunda.

Beliau yang melahirkan rasa simpati dengan nasib pekerja belakang tabir yang bekerja secara bebas, sudi berkongsi pengalaman dan pandangannya membantu IB sekiranya nasihatnya diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 6:15 AM