FIZO dan Azar.
FIZO dan Azar.
Syafil Syazwan Jefri

TINDAKAN pelakon, Azar Azmi menggunakan panggilan 'life partner' dalam satu kapsyen yang dimuat naik beserta gambar bersama Fizo Omar menimbulkan tanda tanya ramai warganet mengenai hubungan kedua-dua mereka.

Fizo ketika dihubungi dan diminta mengulas mengenai perkara itu menganggap panggilan itu sebagai teman yang berkongsi minat sama.

"Jawapan saya masih lagi sama seperti sebelum ini. Kami berkawan baik, namun belum ada membabitkan sebarang perasaan antara kami.

"Mungkin apa yang dimaksudkan oleh Azar dengan panggilan 'life partner' atau teman hidup itu adalah untuk menggambarkan kami yang berkongsi minat sama," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fizo, Azar meluahkan hasrat untuk mencuba melakukan aktiviti motosikal lasak bagi merasai sendiri pengalaman aktiviti terbabit.

"Dia mahu cuba sertai aktiviti motosikal lasak sebab sudah lama teringin. Jadi, saya bawalah. Kami dapat lakukan aktiviti yang diminati, sekali gus dia pun mula suka," katanya.

Fizo bagaimanapun menghargai komen positif daripada warganet di ruangan komen foto itu.

"Saya hargai semua komen positif daripada warganet. Saya harap, semua orang dapat mendoakan yang baik-baik.

"Apa pun, masih terlalu awal untuk kami menjalinkan hubungan lebih daripada kawan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 2:50 PM