FINAS masih menunggu  penyelarasan SOP daripada MKN dan KKMM.
FINAS masih menunggu penyelarasan SOP daripada MKN dan KKMM.
Syafil Syazwan Jefri


PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sudah mengadakan perbincangan dengan wakil daripada panggung wayang tempatan dan berbincang mengenai bila sektor itu akan dapat beroperasi semula.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, buat masa ini pihaknya masih menunggu penyelarasan prosedur operasi standard (SOP) daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

"Pihak kami ada berbincang dengan pemilik-pemilik panggung wayang tempatan dan kami ada menghantar usul kepada MKN untuk memberi sedikit kelonggaran untuk panggung wayang kembali beroperasi. Buat masa sekarang, semuanya masih lagi diselaraskan dan keputusan akhir akan dimaklumkan," katanya.

Ahmad Idham berkata, jika semuanya diluluskan dan berjalan lancar, berkemungkinan besar panggung wayang akan dibenarkan beroperasi semula menjelang bulan depan.

"Kalau kita lihat semula sejak awal penularan Covid-19, tidak ada penularan jangkitan yang wujud daripada panggung wayang. Jadi, harapnya ada sedikit kelonggaran," katanya.

Namun, ada beberapa perkara yang perlu dibincangkan dengan lebih lanjut sebelum panggung wayang beroperasi semula.

"Antara yang menjadi kegusaran saya adalah sekiranya panggung wayang kembali dibuka, kita tak tahu sama ada filem-filem akan ditayangkan memandangkan banyak penggambaran yang tertangguh.

"Kalau tak ada filem berkualiti, bagaimana pihak panggung wayang nak menjana pendapatan dan menarik minat orang untuk datang menonton. Itu perlu difikirkan juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 4:40 PM