HANS ISAAC
HANS ISAAC
Najiy Jefri

BEKAS Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac memperuntukkan RM400 hingga RM700 kepada 80 penggiat seni belakang tabir yang terjejas dari segi kewangan akibat penularan pandemik Covid-19, semalam.

Ia sekali gus menyaksikan Hans menepati janjinya untuk menyalurkan semua gaji dan elaun diterima sepanjang 13 bulan memegang jawatan itu kepada mereka.

Hans ketika dihubungi berkata, selain sumbangan wang tunai, dia turut menyampaikan barangan keperluan asas berjumlah RM150 kepada mereka yang berdepan situasi sukar ketika ini.

"Ketika menyampaikan sumbangan semalam, saya sebak dan sedih kerana mereka terpaksa berdepan kehidupan yang sukar. Ada individu yang terpaksa berpindah dari Kuala Lumpur kerana sudah tidak mampu menampung kehidupan di sini. Ada juga yang terpaksa balik kampung kerana hilang pekerjaan.

"Saya akan cuba bantu apa yang termampu. Bulan depan saya akan kembali menghulurkan bantuan kerana saya sudah berjanji untuk tidak mengambil sesen pun gaji dan elaun sepanjang 13 bulan memegang jawatan sebagai Pengerusi Finas," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Hans, jika selama ini dia tidak suka menghebahkan bantuan yang diberikan kepada pengiat seni belakang tabir, namun mungkin dengan cara ini dapat membuka mata individu yang memburukkan namanya. "Berpuluh tahun saya beri bantuan secara diam-diam sehingga ada yang mempertikaikan apa sumbangan saya kepada penggiat seni.

"Malah ketika saya jadi produser dan sebelum dilantik sebagai Pengerusi Finas, ada yang kata saya tidak berbuat apa-apa. Tapi kali ini saya nak mereka tengok usaha yang sudah saya lakukan selama ini. Saya harap ia dapat mengubah persepsi mereka apabila sesuka hati memburukkan nama saya," katanya.

Sementara itu, Hans turut berharap kerajaan dapat mempertimbangkan supaya mencari satu solusi baharu untuk menyediakan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada golongan yang bekerja secara 'freelance'.

"Ketika mengagihkan sumbangan semalam, saya melihat betapa pentingnya KWSP kepada setiap individu sebagai bekalan di masa hadapan. Dulu saya memang tak boleh buat apa-apa sebab saya sendiri pun tiada. Saya harap perkara ini akan diperhalusi supaya setiap pekerja 'freelance' di Malaysia menikmati KWSP. Kita patut menukar cara ini supaya semua orang dapat menikmati kelebihan ini. Saya percaya perkara ini boleh diselesaikan dengan bantuan kerajaan," katanya.

Terdahulu Hans nekad 'memulangkan' semua gaji dan elaun diterima sepanjang 13 bulan memegang jawatan itu kepada industri penerbitan filem dan drama.

Hans berkata, wang itu akan disalurkan kepada semua penggiat seni belakang tabir yang terjejas dari segi kewangan akibat penularan pandemik Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 6:43 PM