WANI Kayrie dan kenyataan dari SRC. FOTO ihsan IG
WANI Kayrie dan kenyataan dari SRC. FOTO ihsan IG

 

"DOSA paling bahaya adalah dosa sesama manusia, paling sulit kerana Allah tidak akan mengampunkan selagi empunya hak tidak memaafkan."

Demikian hantaran perkongsian terbaru penyanyi Wani Kayrie di Instagram Story selepas menerima kecaman teruk di Internet ekoran tindakanya memuat naik klip video tariannya di aplikasi TikTok dalam keadaan dirinya dimekap menjadi hitam seperti wataknya dalam drama Dayang Senandung.

Enggan membiarkan isu yang berlaku terus menjadi lebih serius, syarikat rakaman yang menaungi Wani Kayrie, Suria Records (SRC) tampil membuat permohonan maaf.

SRC dalam satu kenyataan berkata, video tarian yang dikongsi Wani di laman sosial itu tidak bermaksud untuk menyentuh sensitiviti kaum.

"Kami ingin memohon maaf susulan video TikTok Wani yang menimbulkan kekecohan kerana salah faham mengenai mesej dalam video itu.

"Wani tampil dalam video itu ketika wajahnya dimekap menjadi hitam untuk penggambaran drama rakyat Dayang Senandung. Ia adalah drama yang pernah ditayangkan pada 1965 dan dilakonkan Seniwati Datuk Sarimah.

"Wajah Wani yang dimekap menjadi hitam bukan disebabkan dia perlu penampilan sebegitu, sebaliknya dia disumpah kulitnya menjadi hitam. Video itu tidak sama sekali bermaksud untuk mempersendakan mana-mana kaum, ia hanya sebuah video Wani menari yang masih memakai solekan daripada watak dalam drama Dayang Senandung," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut SRC, segala video berkaitan isu itu sudah dipadam di akaun media sosial Wani dan meminta kerjasama orang lain untuk turut memadamnya.

"Kami amat kesal atas segala kesulitan yang berlaku dan memastikan lebih berhati-hati dalam setiap kandungan yang dimuat naik Wani," katanya.

Sementara itu, Wani turut memohon maaf bagi mengelakkan salah faham daripada terus berlaku.

"Saya memohon maaf bagi pihak diri sendiri dan pihak pengurusan, ini adalah untuk mengelakkan salah faham dalam kalangan semua pihak," katanya.

Terdahulu, lebih 3,000 pengguna menurunkan tandatangan menyokong petisyen dalam talian bagi mendesak penggambaran drama Dayang Senandung terbitan Zeel Production Sdn Bhd dihentikan serta-merta atas dakwaan mendiskriminasi warna kulit.

Kekecohan bermula dipercayai selepas Wani yang memegang watak Dayang Senandung memuat naik klip video tariannya di aplikasi TikTok.

Susulan video itu, isu membabitkan Dayang Senandung menjadi polemik dalam kalangan warga maya antaranya apabila ia dipaparkan sebagai wanita kulit hitam.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 12:19 PM