KATY Perry dan Orlando Bloom.
KATY Perry dan Orlando Bloom.
Agensi

PELAKON Orlando Bloom teruja apabila mengetahui pasangannya yang juga penyanyi popular, Katy Perry kini hamil anak perempuan mereka.

Perkara itu dikongsikan Perry dalam temu bual dengan Karson & Kennedy dari Radio Mix 104.

"Saya rasa dia amat gembira untuk anak perempuan ini. Orang cakap anak perempuan bakal menjadi anak kesayangan bapanya. Agaknya akan terjadi tak nanti? Kita lihat saja," katanya.

Dalam masa sama, Perry yang juga juri American Idol 2018 mengakui dirinya tidak dapat menyembunyikan perasaan sama seperti Bloom.

Malah, Perry amat bersemangat menantikan kelahiran anak pertamanya itu walaupun perlu mempersiapkan diri dalam keadaan negara masih dilanda pandemik Covid-19.

"Saya kelelahan, cemas, gembira dan juga depresi. Saya merasakan semuanya," katanya.

Mengenai soal nama anak yang bakal dilahirkan, Perry berkata, dia dan Bloom belum menentukannya lagi.

"Kami belum memutuskan secara rasmi namanya lagi. Saya fikir kami harus punya pilihan dan dia yang akan beritahu. Saya melihatnya dan kemudian akan tahu sendiri nama itu," katanya.

Terdahulu, Perry berkongsi mengenai kehamilannya kepada umum menerusi sebuah lagu dan muzik video Never Worn White pada Mac lalu.

Sebelum menyambut kelahiran anak perempuan hasil hubungan dengan Perry, Bloom sudah mempunyai anak lelaki hasil perkahwinan dengan Miranda Kerr yang kini berusia sembilan tahun.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 10:09 AM