BERKOLABORASI dengan penyanyi meningkat naik, YonnyBoii.
BERKOLABORASI dengan penyanyi meningkat naik, YonnyBoii.
Najiy Jefri

HAMPIR 11 tahun mencanai bakat dalam industri muzik tempatan, penyanyi Azlan Typewriter tidak kisah untuk bekerjasama dengan penyanyi baharu.

Azlan atau nama sebenarnya Nor Azlan Rosle, 38, berkata, menerusi kerjasama terbaharunya dengan penyanyi meningkat naik, YonnyBoii menerusi single Kelabu membuktikan bahawa dia bersikap terbuka dan percaya muzik itu bersifat universal.

"Ketika dipelawa untuk berduet dengan YonnyBoii, saya teruja untuk menjadi sebahagian daripada sejarah yang bakal dicipta ini. Sejak awal mendengar melodi lagu ini, ia sudah menambat hati saya. Malah, saya boleh katakan ini sebagai satu eksperimen berbeza apatah lagi menyatukan dua generasi penyanyi.

"Bagaimanapun, saya mengambil masa untuk menyatakan persetujuan terbabit menyanyikan lagu ini. Namun hingga kini, saya percaya keputusan untuk turut serta dalam karya ini bukan sia-sia.

"Selepas dikaji dan diamati dengan mendalam gabungan suara kami ini, ia mungkin akan dapat memperkuatkan lagi metabolisma aura lagu berkenaan. Kami sebenarnya cuba saling melengkapi antara satu sama lain," katanya.

Pertembungan antara penyanyi baharu dan lama itu dilihat sebagai sesuatu yang positif, sekali gus menambah rencah baharu dalam langit industri hiburan.

Rakaman lagu ini dibuat secara berasingan sekitar April lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

AZLAN berduet bersama YonnyBoii menerusi single Kelabu.
AZLAN berduet bersama YonnyBoii menerusi single Kelabu.

Katanya, lagu ini juga memperkenalkan sisi berbeza dirinya yang tidak hanya membawakan lagu yang mempunyai vokal tinggi sahaja.

"Menjalani proses rakaman secara berasingan bukan satu masalah besar. Apatah lagi ketika penularan pandemik Covid-19 hingga dikuatkuasakan PKP menuntut lebih banyak masa di rumah.

"Saya turut mengubah semula komposisi muzik ini. Proses memasukkan rakaman suara saya untuk lagu ini dalam tempoh enam jam. Saya perlu ambil masa ini untuk memastikan kualiti vokal sendiri disunting tanpa terlalu banyak proses suntingan," katanya.

Ditanya mengapa sikap selektifnya dalam pemilihan setiap karya dibawakan, Azlan menjelaskan, dia bukan seorang yang suka berkompromi dengan hasil kerjanya.

"Kita perlu memilih dengan siapa kita bekerja supaya hasil kerja tak terjejas. Kita berkarya untuk jangka panjang. Sebenarnya saya pernah ambil masa lebih lama dari enam bulan membuat keputusan bagi menyatakan persetujuan lagu Kelabu ini.

"Antara sebab saya terima gabungan ni adalah untuk belajar perkara baharu seperti kecenderungan generasi kini yang lebih suka menghayati lirik," katanya.

Azlan berkata, lirik yang ditulis Yonnyboii disusun begitu kemas dan mempunyai maksud yang mendalam.

"Dalam masa enam bulan menerima lagu ini, saya cuba memahami hingga ratusan kali apa sebenarnya yang hendak disampaikan sebelum bersetuju dan kemudian teruskan dengan proses rakaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 6:30 AM