NICK Cordero
NICK Cordero
Georgie Joseph


PELAKON Broadway, Nick Cordero meninggal dunia pada usia 41 selepas lebih tiga bulan bertarung dengan jangkitan virus Covid-19, hari ini.

Cordero yang pernah membintangi Waitress dan Rock of Ages menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Cedars-Sinai, Los Angeles di samping keluarga tercinta.

Isterinya, Amanda Kloots menerusi Instagram turut berkongsi berita sedih itu dan masih tidak percaya suaminya sudah tiada.

"Suami saya meninggal pada pagi ini. Dia dikelilingi keluarga tercinta yang sempat berdoa dan bernyanyi buatnya sebelum dia pergi.

"Saya masih tidak percaya dan merasa kesakitan yang teramat. Hati saya hancur dan tidak dapat bayangkan hidup tanpa dia. Dia adalah penyinar yang sangat terang.

"Dia adalah sahabat semua orang, suka mendengar, dan petah bercakap. Dia adalah aktor dan pemuzik yang sangat hebat. Dia kesayangan keluarga dan disayangi sebagai bapa dan suami," katanya.

Kloots juga sempat berterima kasih kepada doktor yang bekerja-keras merawat Cordero sepanjang tempoh dia ditahan di hospital.

"Kepada doktor luar biasa Nick, Dr David Ng, kamu doktor yang positif! Tidak banyak doktor seperti kamu.

"Baik hati, bijak, penyayang, tegas, dan sentiasa setia mendengar idea atau panggilan gila saya. Kamu adalah berlian dalam sejuta," katanya.

Cordero dimasukkan ke hospital berkenaan sekitar Mac lalu. Pada awalnya, doktor tidak dapat mengesahkan penyakit dialaminya kerana ujian pertama Covid-19 negatif.

Bagaimanapun beberapa hari kemudian, dia disahkan dijangkiti virus itu.

Selain Kloots, Cordero turut meninggalkan seorang anak lelaki iaitu Elvis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 11:11 AM