X
AMEER (berdiri) mengikut semua prosedur uji bakat penyampai sukan di RTM.
AMEER (berdiri) mengikut semua prosedur uji bakat penyampai sukan di RTM.
Georgie Joseph


PENYANYI Ameer Forteen mencabar diri untuk menghadiri uji bakat pencarian penyampai sukan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Sabtu lalu.

Ameer atau nama sebenarnya Mohd Arif Ameerais Azhar, 30, berkata dia turut melalui proses uji bakat itu seperti calon lain tanpa menggunakan 'kabel' dalaman.

"Saya memang dari dulu sangat berminat untuk menjadi penyampai sukan. Apalagi, saya gemar menyertai pelbagai sukan sebelum bergelar artis.

"Jadi, saya mencabar diri untuk menghadiri uji bakat itu demi merealisasikan impian yang lama terpendam. Prosesnya, mengambil masa lebih empat jam untuk selesai dan saya seronok dapat melalui pengalaman itu sendiri seperti calon lain.

"Mungkin ada yang akan bertanya kenapa saya tidak gunakan 'kabel' dalam sahaja. Tapi, saya percaya kepada rezeki dan mahu melihat sendiri sejauh mana saya mampu pergi jauh dalam pengacaraan sukan pula," katanya.

Berkongsi lanjut, Ameer tidak menafikan memang menaruh harapan tinggi untuk dipilih menyertai RTM sebagai penyampai sukan. Menurutnya, dia bersyukur lepas semua peringkat uji bakat itu sewaktu menghadirinya.

"Ini pertama kali saya hadir uji bakat penyampai sukan RTM sebenarnya. Sebelum ini, saya berdepan kekangan masa disebabkan sibuk dengan kerjaya seni selain mungkin terlepas maklumat uji bakat.

"Disebabkan itu, saya menaruh harapan tinggi apalagi saya berjaya lepas semua peringkat uji bakat itu. Namun, saya tidaklah mahu terlalu yakin dan kalau ada rezeki, adalah," katanya.

Ameer juga tidak menafikan antara sebab dia mencuba rezeki jadi penyampai adalah periuk nasinya terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

"Walaupun sudah ada nama, bukan jaminan untuk bersenang-lenang dan tunggu tawaran masuk. Sebaliknya, kelangsungan kerjaya perlu diteruskan dan saya masih perlu mencari rezeki untuk menyara keluarga," katanya.

Dalam pada itu, Ameer juga kini menceburi bidang perniagaan dengan memulakan bisnes makanan sebulan yang lalu.

"Perniagaan yang saya mulakan itu adalah penjualan sosej tongmo. Bekalan sosej itu saya ambil dari Kelantan dan mahu perkenalkan lagi di Kuala Lumpur disebabkan ia masih belum dikenali ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 5:03 PM