HADY MIRZA
HADY MIRZA
Ridzuan Abdul Rahman

 

KEDIAMAN penyanyi Hady Mirza semakin berseri selepas menerima hadiah kelengkapan rumah daripada Im Home Stylist semalam hasil kemenangan menerusi program Gegar Vaganza 6.

Hardy, 40, berkata, dia gembira apabila rumahnya di Nusajaya, Johor Bahru sekarang dilengkapi kelengkapan rumah  bernilai RM40,000.

"Memang sejak masuk rumah ini pada 2017, saya dan isteri tak nak letak barang kerana nak kekalkan keluasan yang ada. Kalau saudara mara dan kawan-kawan datang rumah pun, mereka suka lepak di ruang tamu depan. Tapi dah orang nak bagi hadiah, saya ambil sajalah. Lagipun apabila saya tunjuk gambar terbaru rumah pada mereka, semuanya nampak suka pula," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Hardy berhasrat menjual rumahnya itu sekiranya mendapat tawaran yang bersesuaian daripada pembeli.

"Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya manfaatkan masa dengan mencantikkan rumah bersama isteri. Inilah waktunya kerana sebelum ini saya asyik sibuk dengan kerja. Rumah pun semakin cantik dan kalau ada rezeki, saya nak cari ejen jual rumah ini kepada sesiapa yang berminat.

"Ini memang cara saya kerana saya akan tinggal di sesebuah kediaman selama tiga tahun dan selepas itu akan menjualnya," katanya.

 Menurutnya, amalan ini dipraktikkan sejak dia menetap di negaranya Singapura.

"Saya takkan tinggal lama dan apabila cukup masa saya jual. Di Johor agak susah sikit untuk jual dengan harga yang bagus tapi kalau di Singapura, memang mudah untuk buat untung.

"Namun, ini cuma ura-ura dan cadangan. Kalau ada rezeki saya akan jual, tapi kalau tiada pembeli, saya akan kekal tinggal di sini. Jika sekiranya rumah ini dapat dijual, saya akan menetap di Kuala Lumpur bagi memudahkan kerjaya seni saya," katanya.

Hardy yang bergelar juara bersama GV6 dengan Naqiu, mengakui tidak mampu untuk menyewa rumah lain di Kuala Lumpur.

"Saya dah ada rumah di sini, bayar pinjaman bank pun mahal. Kalau nak tinggalkan rumah ini dan menetap di Kuala Lumpur, banyak juga tanggungan saya nanti. Saya akan ambil gambar dan video rumah ini untuk pasarkan kepada pembeli yang berminat.

"Kalau mereka nak sekali dengan barang-barang rumah pun tiada masalah. Saya dah banyak kali berpindah randah dan dah cukup puas angkut barang-barang ke sana sini," katanya.

Hardy yakin ada rezeki di Kuala Lumpur dan tidak ragu-ragu membuat keputusan ini.

"Sebenarnya sekarang pun saya terpaksa tolak tawaran berlakon yang mengambil masa agak panjang. Kalau penggambaran yang ambil masa dua minggu, memang agak susah saya terima. Setakat dua tiga hari memang tiada masalah. Tak dinafikan terkilan juga. Namun pada masa sama, tawaran dari Singapura pun ada. Jadi, saya ambil mana yang boleh," katanya.

 Hardy akan memulakan penggambaran sebuah program untuk Aidiladha di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

"Ini projek pertama saya selepas berbulan-bulan duduk rumah. Syukur sekarang dah ada kerja. Saya tak pernah risau dilupakan peminat kerana faham sebelum ini kita dalam tempoh PKP," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 2:16 PM