A. Aida.
A. Aida.
Sudirman Mohd Tahir


"BIAR dia rasa!"

Itu kata penerbit popular, Datuk A Aida susulan keputusan Mahkamah Majistret Ampang, hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM17,000 atau penjara 26 bulan kepada pelakon Mas Khan bagi kesalahan mencuri wallet mata wang kripto bernilai RM213,805.

A Aida, 50, berkata, dia bersyukur dengan keputusan itu sekali gus mahu ia menjadikan pengajaran kepada si pelaku atau sesiapa saja.

"Saya bersyukur penjenayah dijatuhkan hukuman. Semoga jadi pengajaran kepada orang lain juga supaya jangan mudah ambil kesempatan.

"Negara kita ada undang-undang. Jangan fikir dia boleh lari dan terlepas begitu saja. Terima kasih pada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berjaya meyelesaikan kes kecurian ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut A Aida, dia bakal membuat tuntutan ganti rugi kepada pelakon itu.

"Selepas ini saya akan buat saman sivil bagi menuntut ganti rugi. Sekarang ini saya dan pasukan peguam sedang buat kira-kira," katanya.

Ditanya kesudiannya bekerjasama dengan pelakon itu selepas ini, A Aida berkata, dirinya bersikap profesional.

"Soal kerja saya okay. Kalau stesen televisyen mahukan dia, saya anggap itu rezeki dia. Saya seorang yang profesional dalam bekerja," katanya.

Terdahulu, Majistret Farah Nasihah Annuar menjatuhkan hukuman itu terhadap Mas Khan, 26, atau nama sebenarnya Mas Hidzir Khan Mas Fadzillah Khan selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan kali ketiga kes itu.

Bagi pertuduhan pertama, pelakon itu didenda RM7,000 atau penjara 12 bulan manakala, denda RM10,000 atau penjara 14 bulan untuk kesalahan kedua.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa mencuri wallet iaitu mata wang kripto milik Zaidah Awang, 50, atau dikenali sebagai A.Aida tanpa izin bernilai RM59,804.15 dan RM154,000.85 di Taman Ukay Perdana, Ampang, Kuala Lumpur, pada jam 5 pagi 7 Mac tahun lalu.

Berita berkaitan

Mas Khan didenda RM17,000 curi wallet kripto

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 9:00 PM