V cemerlang dengan lagu solonya, Sweet Night berada di kedudukan teratas carta lagu di lebih 77 negara. - FOTO Google
V cemerlang dengan lagu solonya, Sweet Night berada di kedudukan teratas carta lagu di lebih 77 negara. - FOTO Google
HM Digital

ANNYEONGHASEYO!

Kemaraan peminat BTS sememangnya tidak boleh dihalang demi memastikan kumpulan itu mahupun anggotanya terus melakar rekod cemerlang dalam kerjaya seni mereka.

Hasil sokongan luar biasa peminat BTS yang dikenali sebagai ARMY, anggotanya V mencipta rekod baharu di iTunes. Rekod itu dicipta menerusi lagu solonya berjudul Sweet Night yang juga runut bunyi siri terkenal, Itaewon Class.

Lagu ciptaannya itu melonjak naik ke kedudukan teratas lebih 77 negara dalam carta platform penstriman terkenal itu sebaik dilancarkan pada 13 Mac lalu. Pada 25 Mei lalu, angka itu terus meningkat sehingga 88.

Pencapaian terbabit sudah pun cukup membanggakan apabila V menjadi artis solo paling laris dari Korea Selatan. Dia turut mengetepikan PSY yang memegang rekod berkenaan sejak sekian lama.

Semalam rekod diciptanya semakin bertambah sebaik lagu berkenaan mengungguli Carta Top iTunes di 103 negara.

Dengan rekod itu, dia serta-merta memadam rekod Adele yang pernah berbuat demikian lima tahun lalu dengan 102 negara.

Untuk rekod menyeluruh pula, sama ada berkumpulan atau solo, rekod dipegang BTS sendiri menerusi lagu Black Swan. Lagu berkenaan berjaya mendapat nombor 1 di 104 negara sekali gus mengalahkan rekod lagu Adele berjudul Hello.

Terdahulu, agensi terkenal SM Entertainment mengesahkan artisnya Baekhyun yang juga anggota EXO menjadi artis solo paling laris dalam tempoh 19 tahun.

Album mini keduanya berjudul Delight yang dilancarkan pada 25 Mei lalu berjaya terjual 1,018,746 unit sehingga kelmarin. Ia menjadikan Baekhyun artis solo pertama di negaranya melepasi angka itu dalam tempoh 19 tahun.

Kali terakhir artis solo dari negara terbabit berjaya melepasi angka itu adalah Kim Gun Mo menerusi album ketujuhnya pada 2001.

Menerusi sebuah video, Baekhyun berkongsi kegembiraan tidak terhingga dengan pencapaian terbaharunya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 6:18 AM