X
SISSY IMANN
SISSY IMANN
Norhayati Nordin

PENYANYI Sissy Imann mengharapkan pihak syarikat penerbitan (bukan terbitan NSTP) yang tersilap menggunakan gambarnya dalam dua keluaran tidak berdiam diri dan membuat siaran permohanan maaf seperti diminta.

Sissy berkata, dia kecewa apabila hingga kini pihak berkenaan masih belum membuat siaran maaf itu seperti pemberitahuan ralat pada gambarnya yang diguna pakai.

"Kesilapan gambar itu tidak sepatutnya berlaku kerana sudah pasti saya bukan individu terbabit. Apatah lagi, ia mengenai isu berbaur perkauman dan warna kulit pula.

"Kalau tak kenal saya pun, boleh sahaja membuat carian nama di Google untuk kepastian supaya kesilapan gambar tidak berlaku dan saya terkait isu yang tidak ada kena-mengena," katanya.

Artikel yang diterbitkan akhbar berkenaan menggunakan gambar Sissy itu sebenarnya adalah mengenai penyanyi dan pelakon, Wani Kayrie berhubung isu TikTok 'black face' (solekan wajah hitam) yang dikongsinya di media sosial hingga menimbulkan salah faham banyak pihak.

Sissy berkata, dia bukan sengaja mahu membesarkan isu itu, tetapi kesal apabila dua kesilapan sama dilakukan syarikat penerbitan terbabit.

"Untuk kesilapan pertama itu, sebaik mengetahuinya pihak pengurusan saya sudah menghubungi mereka bagi memaklumkan perkara itu dan mereka sudah memadam gambar saya.

"Namun, tak sangka berlaku lagi kesilapan kedua dengan paparan gambar saya pada artikel sama mengenai isu diskiriminasi warna kulit. Disebabkan itu, saya mahu pihak penerbitan itu membuat siaran permohonan maaf," katanya.

Sissy berkata, menerusi artikel dikeluarkan yang mengguna gambarnya turut mendapat perhatian media di Singapura yang memaparkan isu sama. Dia sedih imej tercemar kerana isu orang lain.

"Saya tak pernah terkait isu yang sensitif. Ini kerana, sangat menjaga batas perkongsian dibuat di media sosial supaya tidak terjebak perkara yang boleh mengguris pihak lain

"Saya sangat berhati-hati dan apa yang berlaku begitu dikesalkan. Sepatutnya, pihak penerbitan itu lebih bersikap teliti dengan gambar selebriti digunakan. Periksa nama di gambar dengan betul dan untuk kepastian buat rujukan terlebih dahulu," katanya.

Sissy berkata, sepanjang pembabitan dalam kerjaya seni, ramai wartawan yang mengenalinya dan hingga kini hubungan dijalin sangat baik dan saling menghormati.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 11:39 AM