NADIA Brian dibawa pengarah dan penerbit, Shuhaimi Lua ke klinik semalam.
NADIA Brian dibawa pengarah dan penerbit, Shuhaimi Lua ke klinik semalam.
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON Nadia Brian cedera di kaki kiri ketika bermain badminton semalam, menyebabkan dia tidak dapat meneruskan penggambaran drama bersiri Rudy vs Jolie yang sedang berlangsung di Kuantan, Pahang.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Nadia sedang bermain badminton dengan beberapa kru sementara menunggu waktu memulakan penggambaran.

Nadia yang kini berada di Kuantan ketika dihubungi berkata, dia melompat sebelum kakinya terpelecok. Dia kemudian dibawa ke klinik berhampiran untuk menjalani pemeriksaan.

"Kaki mula membengkak dan terasa sakit. Doktor memaklumkan berlaku sedikit kecederaan di tisu lembut bahagian kaki saya.

"Sakitnya tak dapat saya gambarkan hingga terpaksa disuntik dengan ubat tahan sakit," katanya kepada Harian Metro.

Nadia yang diberi cuti rehat lima hari turut mengucapkan terima kasih kepada pengarah dan penerbit, Shuhaimi Lua yang membawanya ke klinik dan menyusun semula jadual penggambaran untuk babak lakonannya.

"Doktor memberi surat pelepasan kerja kepada saya untuk berehat selama lima hari dan abang Mi (Shuhaimi) pun membenarkan saya berehat buat seketika.

"Jadual penggambaran terpaksa disusun semula dan mereka akan teruskan penggambaran untuk babak lain yang tidak membabitkan saya sehingga saya benar-benar kuat untuk kembali bekerja," katanya.

Ini adalah kali pertama Nadia berdepan kecederaan di lokasi penggambaran dan akan lebih berhati-hati selepas ini.

Selain Nadia yang memegang peranan sebagai Jolie, drama bersiri 20 episod itu juga membariskan pelakon antaranya Aidit Noh, Sharifah Husna, Raja Azmi dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 3:19 PM