Norman balik kampung setiap Jumaat.
Norman balik kampung setiap Jumaat.
Syafil Syazwan Jefri

 

PELAKON dan pengacara, Norman Hakim bersyukur kerana situasi Covid-19 yang semakin terkawal memberi peluang kepadanya untuk pulang ke kampung halaman di Kuantan pada setiap Jumaat.

Norman menjadikan perkara itu sebagai rutin sejak beberapa tahun lalu.

"Bila melihat kepada situasi krisis Covid-19 yang melanda semakin terkawal, saya dapat kembali melakukan rutin mingguan iaitu pulang ke kampung halaman di Kuantan.

"Selalunya, saya akan pulang ke sana pada waktu pagi dan solat Jumaat di kampung di samping bertemu dengan keluarga. Selepas itu, saya akan pulang semula ke Kuala Lumpur," katanya kepada Harian Metro.

Norman juga mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan dan barisan hadapan yang bekerja keras dalam memastikan krisis pandemik ini dapat dikawal.

"Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sedih juga kerana saya tak dapat melakukan rutin mingguan saya.

"Tapi, berkat kerja keras dan kerjasama semua pihak, kerajaan umumkan mengenai kebenaran untuk merentas negeri dan sekarang saya dapat kembali melakukannya," katanya.

Walaupun sibuk dengan urusan kerja dan keluarga di Kuala Lumpur, Norman sentiasa memastikan tumpuan turut diberikan kepada orang tuanya yang berada di kampung halaman.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 4:46 PM