X
Rabecca bersama keluarganya. FOTO IG Rabecca Nur Al-Islam Ahmad
Rabecca bersama keluarganya. FOTO IG Rabecca Nur Al-Islam Ahmad
Syafil Syazwan Jefri

PELAKON yang juga ahli perniagaan, Datin Rabecca Nur Al-Islam Ahmad mengakui rindu untuk kembali beraksi di depan kamera sebagai pelakon.

Namun, demi keluarga terutama anak-anak, dia mengorbankan minatnya dan terpaksa menolak beberapa tawaran kerana komitmen utama sebagai isteri dan ibu.

"Kadang-kadang, rasa rindu nak berlakon itu memang ada tapi disebabkan beberapa kekangan terutamanya waktu, saya terpaksa melupakan niat untuk kembali berlakon," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, kerja-kerja penggambaran selalunya akan memakan masa lama dan itu tentunya mengehadkan masa bersama anak-anak.

"Kalau berlakon dan berada di set penggambaran, selalunya kita akan mula bekerja contohnya dari Subuh sehingga Subuh keesokan harinya.

"Jadi, kalau keluar kerja, suami dan anak masih tidur. Bila balik rumah, mereka dah tidur semula dan masa berkualiti untuk mereka jadi terhad," katanya.

Tambah ibu kepada lapan cahaya mata itu, baru-baru ini, dia ada menerima tawaran berlakon namun terpaksa menolak.

"Kerana tanggungjawab saya di rumah, saya bertanya kalau dapat habiskan kerja lakonan selewat-lewatnya jam 10 malam. Namun, saya faham bagaimana cara kerja di set penggambaran.

"Untuk tidak menyusahkan mana-mana pihak, saya tolak secara baik," katanya.

Kali terakhir Rabecca berlakon adalah empat tahun lalu dan kini sibuk dengan tugasnya sebagai isteri, ibu, pelajar dan juga usahawan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 2:12 PM