X
Sherry Ibrahim memberi  diskaun sebanyak 20 peratus kepada frontliner.
Sherry Ibrahim memberi diskaun sebanyak 20 peratus kepada frontliner.
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON dan usahawan, Sherry Ibrahim menerusi akaun Instagramnya menghilangkan kegusaran pejuang barisan hadapan (frontliner) yang terpaksa berdepan situasi di mana tidak diterima untuk menggunakan khidmat gunting rambut seperti yang tular baru-baru ini.

Sherry dalam muat naik di platform media sosial itu mengajak 'frontliner' untuk hadir ke salon miliknya, Khatulistiwa Hairspa by Hairkunst dan ingin memberikan diskaun sebanyak 20 peratus kepada mereka.

"Ramai dalam kalangan kenalan saya juga bekerja sebagai 'frontliner' dan bagaimana mereka bersusah payah untuk berjuang memerangi Covid-19. 

"Bila terbaca berita mengenai sesetengah salon menolak kehadiran mereka (frontliner) kerana dianggap berisiko tinggi, saya rasa ini tidak adil dan terpanggil untuk memberikan diskaun serta perkhidmatan salon untuk mereka," katanya kepada Harian Metro.

 Tambah Sherry, apatah lagi ada dalam kalangan pelanggan-pelanggannya sebelum ini terdiri daripada doktor dan jururawat.

 "Ada yang datang dan berkongsi mengenai pengalaman mereka yang tak cukup tidur dan ingin mendapatkan khidmat potong rambut kerana sudah berbulan-bulan tidak menata gaya rambut.

 "Setakat ini, ramai yang menghantar mesej kepada saya dan mengucapkan terima kasih kerana apa yang berlaku adalah hakikat," katanya.

Terbaharu, Sherry kini menjalani penggambaran drama berjudul Luka Di Hati Diya di samping pelakon lain antaranya Fikri Bakar, Fauzi Nawawi, Lisdawati, Niezam Zaidi dan ramai lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 4:53 PM