X
Norhayati Nordin

SELEPAS mendirikan rumah tangga kali kedua dengan lelaki pilihan baru-baru ini, penyanyi Linda Eva, 43, akur perlu melepaskan anak lelakinya, penyanyi Haziq untuk berdikari.

Linda atau nama sebenar Norhaslinda Ishak berkata, Haziq perlu bangkit semula membina kerjaya nyanyiannya sendiri memandangkan keadaan kesihatannya juga makin pulih.

"Haziq kena urus sendiri kerjaya nyanyiannya yang masih bernaung dengan FMC Music, manakala saya sekadar memantau dari belakang.

"Saya yakin Haziq boleh berdikari memandangkan dia seorang yang tabah dan bersemangat kental. Sudah tiba masanya, saya beri peluang untuk dia atur kehidupan dan kerjayanya sendiri.

"Apatah lagi, kakinya yang cedera teruk akibat kemalangan tahun lalu semakin pulih. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur Haziq sudah boleh berjalan semula," katanya.

Memaklumkan Haziq akan merakamkan lagu baharu secara solo, Linda berkata, dia akan terus menyokong anaknya setiap masa.

Katanya, mereka pun sama-sama mempunyai minat mendalam pada muzik dan nyanyian.

LINDA bersyukur anak terima hasrat sepenuh hati untuk berkahwin semula.
LINDA bersyukur anak terima hasrat sepenuh hati untuk berkahwin semula.

Mengulas perkahwinannya, Linda berkata, dia gembira anak-anak memberi restu dan dapat menerima kehadiran suami, Mohd Fairuz Ibrahim, 33, dengan baik dan ikhlas.

"Semua anak saya sudah kenal dengan suami. Malah, mereka terima hasrat saya dengan sepenuh hati untuk berkahwin semula dan kembali hidup berkeluarga.

"Dua tahun menjalani hidup sebagai ibu tunggal, anak-anak tahu kepayahan serta kesukaran yang kami lalui bersama. Kini, mereka mahu melihat saya gembira dan bahagia.

"Saya pun tidak mahu terus hidup bersendiri tanpa seorang lelaki bergelar suami di sisi. Syukur Alhamdulillah, Allah sudah pertemukan jodoh saya dengan suami," katanya.

Menurut Linda, dia dan suaminya sudah kenal lama dan di saat dia berhadapan cabaran kehidupan, Mohd Fairuz sentiasa ada bersama dan banyak membantunya.

"Lagi pun, suami tak halang saya untuk terus menyanyi. Dia sangat menghormati minat saya. Malah, sepanjang kami rapat, suami cukup menjaga tutur kata.

HAZIQ
HAZIQ

"Dia tak pernah cakap merapu atau buat lawak mengenai perkara tidak senonoh. Saya melihat suami, seorang yang sangat menghormati wanita," katanya.

Pada Sabtu lalu, Linda dan Mohd Fairuz diraikan dalam majlis persandingan meriah dihadiri keluarga, saudara dan kenalan rapat di Putrajaya.

Linda dan Mohd Fairuz, masing- masing pernah gagal dalam rumah tangga terdahulu.

Justeru, mereka berharap rumah tangga dibina kini berkekalan hingga akhir hayat.

Perbezaan usia 10 tahun dengan suami juga tidak dilihat sebagai halangan utama buat Linda.

Katanya, apa yang pasti, sudah jodoh mereka untuk saling melengkapi dalam rumah tangga.

Linda yang pernah popular dengan lagu Bulan Cinta bersama kumpulan Eva pada 1990-an lalu bercerai dengan bekas suami pada September 2018 dan hasil perkongsian hidup itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Haziq, 20, yang juga bekas vokalis kumpulan Putera Band, Afrina, 16, Syuhadah, 15, dan Aliya, 10.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 6:15 AM