X
SAAT indah ketika disatukan sebagai suami isteri.
SAAT indah ketika disatukan sebagai suami isteri.
Ridzuan Abdul Rahman

SEDAR tak sedar, sudah hampir tujuh bulan penyanyi Ismaliza Ismail atau Isma, 41, melayari kehidupan rumah tangga dengan pasangannya, Mohd Dzaki, 35.

Kakak kepada penyanyi Tomok ini gembira dengan kebahagiaan yang dikecapi menerusi perkahwinan keduanya ini.

"Alhamdulillah, ikutkan tiada perubahan ketara sangat, cuma saya kini lebih terjaga dengan adanya suami di sisi. Begitu juga dengan anak-anak.

"Usia juga tak pernah menjadi perbezaan buat kami kerana yang penting ialah persefahaman dan saling menghormati antara satu sama lain," katanya yang ditemui ketika mengendalikan majlis perkahwinan penyanyi Linda Eva di Restoran D' Empangan Udang Galah, Putrajaya, Sabtu lalu.

Isma pernah berkahwin dengan komposer dan penyanyi Zul 2 By 2 pada 16 April 1998, tetapi bercerai pada awal tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan lima anak iaitu Muhammad Haiqal Aiman, 21, Muhammad Haiqal Aydiel, 20, Seri Aida Merlissa, 18, Seri Ayreen Merlynda, 16, dan Seri Adryana Mercella, 12.

BERSAMA Rohana Jalil dan rakan artis ketika majlis perkahwinan Linda Eva.
BERSAMA Rohana Jalil dan rakan artis ketika majlis perkahwinan Linda Eva.

Ditanya sekiranya berkeinginan mempunyai anak menerusi perkahwinan ini, Isma berkata, dia menerimanya dengan hati terbuka sekiranya ada rezeki.

"Saya dan suami berserah kepada Allah sekiranya nak beri rezeki kurniakan anak. Apa yang boleh kami buat ialah berdoa supaya Allah berikan yang terbaik dalam rumah tangga kami.

"Tomok pun sudah ada bayi baharu dan sangat gembira dia dikurniakan anak perempuan. Namun, saya tak rasa tercabar kerana rezeki masing-masing Allah tentukan.

"Saya bersyukur kerana suami tak mengongkong dan terus membenarkan saya menyanyi. Ia bukan saja kerjaya saya, tapi juga minat saya. Senang rasanya apabila dia benarkan saya menyanyi dan sokong apa yang saya buat," katanya.

Mengulas hubungan anak-anak dengan suaminya, Isma berkata, mereka sangat mesra. Malah, mereka memanggilnya dengan panggilan Abang Kun.

"Panggilan ini dah terbiasa digunakan. Ia sebenarnya nama panggilan suami. Saya tak nak ada jurang antara anak-anak dan suami.

KELUARGA bahagia Isma.
KELUARGA bahagia Isma.

"Suami pun tak paksa anak-anak untuk panggil dia dengan gelaran pak cik. Ia tak pernah menghilangkan rasa hormat mereka terhadap suami. Anak-anak saya pun dah besar, jadinya hubungan ini seperti kawan-kawan kerana boleh bercakap pelbagai perkara," katanya.

Isma kini menghiburkan pengunjung di Restoran D' Empangan Udang Galah, Putrajaya setiap Jumaat hingga Ahad.

"Sebelum ini saya menyanyi setiap hari di sini kecuali Khamis. Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kami mulakan dulu untuk Jumaat hingga Ahad dan akan tengok dulu pada reaksi pengunjung.

"Alhamdulillah, sudah empat tahun saya menyanyi di situ dan sambutannya amat menggalakkan. Orang sentiasa datang menjamu selera sambil menikmati nyanyian saya.

"Dalam masa sama, saya masih terima undangan menyanyi di luar. Pengurusan di sini sangat bertolak ansur," katanya yang berhasrat menghasilkan single terbaharu dalam masa terdekat.

Dia pernah tampil dengan single Bisikan Godaan (Final AF), Aku Bukan Pilihanmu serta Pak Pung 2013 menampilkan Altimet dan Saiful Apek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 6:20 AM