JABIR Meftah
JABIR Meftah
Sudirman Mohd Tahir


FINALIS program Hero Remaja 2020, Jabir Meftah, 20, menolak andaian namanya disebut-sebut bakal menjuarai pertandingan itu pada peringkat akhir yang bakal berlangsung esok.

Jabir berkata, dia cuba melakukan yang terbaik pada pentas akhir itu selain menyifatkan finalis lain layak bergelar juara.

"Saya berasa andaian ini tidak benar sebab sebelum ini saya pernah dikecam. Jadi, saya fikir mungkin tidak ramai yang sokong saya.

"Apa pun, saya cuba buat yang terbaik. Persaingan cukup sengit dan saya pasti masing-masing idamkan yang terbaik. Saingan paling dekat sudah tentunya datang daripada diri sendiri. Kalau kita fokuskan orang lain, ia tidak akan ke mana. Jadi lebih baik untuk saya cari kelemahan diri dan cuba perbaiki," katanya.

Berbanding empat calon finalis lain, Jabir dilihat lebih menyerlah dalam bidang seni apabila sudah mula berlakon.

Penampilannya dalam drama Juliet terbitan Zeel Production sedikit sebanyak membuka ruang dan peluang yang lebih besar untuknya.

"Semua orang akan ada waktunya. Saya percaya kepada rezeki dan ia tidak pernah akan salah alamat. Mungkin pada peringkat ini, ada yang lihat saya lebih menyerlah. Tetapi siapa tahu akan ada rezeki lainnya juga.

"Jujurnya , apabila mula berlakon saya banyak belajar perkara baru. Saya bertuah kerana pelakon senior yang terbabit dalam drama Juliet ini tidak lokek untuk mengajar dan kongsi ilmu.

"Diakui, memang berdebar dan gementar juga. Tapi, keadaan di lokasi penggambaran yang harmoni bersama kru produksi yang okay membuatkan diri kian selesa, alhamdulillah," katanya yang memegang watak Noah.

Drama arahan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar itu bakal menemui penonton September ini di RTM.

Juliet turut dibarisi pelakon hebat seperti Redza Rosli, Rozita Che Wan, Azza Elite, Rita Nadira dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 5:39 PM