HAIRI mengalami kecederaan lebam mata kanan kerana ditumbuk seorang lelaki. FOTO IG hairisafwan
HAIRI mengalami kecederaan lebam mata kanan kerana ditumbuk seorang lelaki. FOTO IG hairisafwan
Norhayati Nordin

PELAKON Hairi Safwan, 32, menggesa sesiapa sahaja yang melihat berlaku pergaduhan atau pertengkaran di antara lelaki dan wanita di tempat awam, bertindak segera membantu menyelesaikannya.

Hairi berkata pada masa sekarang, kita sebagai masyarakat tidak boleh bersikap melihat sahaja kerana enggan campur tangan masalah orang lain, sebaliknya bertindak untuk menyelamatkan individu lemah seperti wanita daripada menjadi mangsa.

Pada Khamis lalu, Hairi mengalami kecederaan lebam mata kanan kerana ditumbuk seorang lelaki ketika dia cuba meleraikan pergaduhan satu pasangan yang berlaku di luar sebuah farmasi di Subang Jaya, Selangor.

Menceritakan kejadian itu, Hairi atau nama sebenar Mohd Hairi Safwan Aznan berkata dia yang mendukung anaknya untuk masuk ke farmasi berkenaan mendengar pergaduhan seorang lelaki dan wanita dengan kata-kata kesat yang  dilemparkan.

"Saya tak boleh mendengar kata-kata kesat seorang lelaki kepada wanita. Tak kisahlah, mereka pasangan suami isteri atau kekasih, saya pasti menegurnya. 

"Namun, lelaki itu yang tidak boleh terima tindakan saya terus memberikan satu tumbukan di mata. Bagaimanapun, anak saya yang berada dalam dukungan ketika itu terkejut," katanya kepada Harian Metro.

Hairi yang membuka langkah silatnya, secara tidak sengaja menyebabkan lelaki berkenaan cedera dengan patah tangan.

"Saya tidak berniat pun mahu mencederakan lelaki itu, tapi perbuatannya bergaduh dengan pasangan di tempat awam berserta kata-kata kesat memang tidak wajar.

"Sebagai lelaki yang sudah berkeluarga, tujuan saya untuk meleraikan pergaduhan itu kerana tidak mahu ia berlarutan sampai ke rumah. Apatah lagi, tindakan itu dilihat seperti membuli wanita.

"Apabila tidak dileraikan, nasib wanita itu di rumah nanti macam mana pula. Kebiasannya, wanita suka memendam perasaan dan berdiam diri kerana begitu memikirkan anak-anak," katanya.

Menurut Hairi lagi, dalam situasi sekarang tidak ramai wanita sanggup tampil membuat aduan terhadap pasangan. Kebanyakannya lebih memilih tanggung kesedihan sendiri.

"Pada situasi sekarang, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 ini, ramai orang berdepan tekanan kerana dugaan kehidupan. Ditambah, jika mengalami masalah kewangan.

"Sekarang, lelaki dah banyak gila. Jadi, golongan wanita yang lemah akan menjadi mangsa. Justeru, sebagai masyarakat yang peka harus membantu," katanya.

Mengulas kritikan dan sokongan warganet menerusi perkongsian foto di Instagram, Hairi berkata dia menerima baik sokongan diberikan. Namun, bagi yang mengkritk dan ada yang mengajak dia bersemuka untuk bergaduh, tidak dilayan.

Memaklumkan dia dan lelaki terbabit sudah menyelesaikan insiden yang berlaku, Hairi berkata dia ada memohon maaf kerana mencederakan lelaki itu dan membayar segala kos perubatannya.

Kata Hairi, dia berharap semoga tidak ada perkara berbangkit. Ujarnya, dia menganggap perkara itu sudah selesai dan tidak dipanjangkan lagi.

Mendirikan rumah tangga dengan Fara Adiza Azman, 30, Hairi berkata dia tidak pernah bertindak kasar dan naik tangan kepada isterinya kerana menghormati wanita. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Arif Haikal, 5, dan Azad Hakim, 3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 3:46 PM