KIM Min
KIM Min
Georgie Joseph

ANNYEONGHASEYO! Dalam apa juga keadaan yang membabitkan perbuatan tidak senonoh, sesiapa saja boleh membantu membanterasnya.

Itulah yang dilakukan pelakon Kim Min Seok, baru-baru ini.

Pelakon terbabit dilaporkan menangkap sendiri seorang lelaki gila seks yang cuba merakam kaki seorang wanita menggunakan kamera tersembunyi.

Berkongsi insiden itu, Min Seok berkata, dia tidak mahu berdiam diri tanpa berbuat apa-apa selepas menyaksikan sendiri perbuatan tidak senonoh berkenaan. Sebagai lelaki, dia juga malu dengan tindakan individu terbabit.

"Saya sedang bersama dengan rakan artis Son Min Ho pada hari terbabit. Saya rasa bersalah pula apabila cuma saya seorang yang menjadi perhatian mengenai perkara ini. Kami cuma bertindak sebagaimana yang sepatutnya.

"Saya rasa sesiapa yang turut menyaksikan sendiri kejadian itu pastinya akan melakukan hal sama. Saya agak segan juga apabila cerita sebegini menjadi umum seperti ini pula," katanya merendah diri mengenai tindakannya itu.

Sewaktu insiden terbabit, Min Seok sedang menikmati makanannya di sebuah kafe di Apjugeong. Dia kemudian perasaan lelaki berkenaan melakukan perkara tidak senonoh itu sebelum bertindak menangkapnya.

Pelakon terbabit memberanikan diri untuk menahan lelaki terbabit daripada melarikan diri dan menghubungi polis. Mujur tindakannya berhasil apabila lelaki itu akhirnya diserahkan kepada polis untuk ditahan.

Berdasarkan siasatan, beberapa foto wanita yang diambil tanpa kebenaran juga ditemui dalam telefon milik penjenayah terbabit.

Min Seok baru saja menamatkan khidmat ketenteraannya pada Isnin lalu. Pada hari rasmi dia keluar dari markas dia ditempatkan, pelakon itu turut berkongsi sebuah fotonya di hadapan stesen kereta api yang turut dilekatkan dengan poster dirinya.

Sepanjang perkhidmatannya, pelakon itu turut berbakti dengan cara tersendiri untuk membanteras jenayah seksual. Dia bersama anggota EXO iaitu D.O. dan Xiumin aktif terbabit kempen hentikan eksploitasi seks digital.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 6:30 AM